Empat Pelajar 13 Tahun Ditahan Polis Atas Kesalahan Kes Buli

 


Polis telah menahan empat pelajar yang juga suspek kes buli rakan setingkatan di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar petang tadi.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara pukul 6 hingga 7 petang.


“Empat pelajar telah ditahan petang tadi untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.


Terdahulu Mior Farid memberitahu, kertas siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.


Beliau berkata, kesemua lapan pelajar terlibat termasuk seorang mangsa telah dikenal pasti dan mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.


Katanya, turut dipanggil untuk dirakam percakapan ialah pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian itu.


“Siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian itu berlaku semalam antara pukul 1 hingga 2 pagi melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa.


“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan hari ini ekoran penularan video pergaduhan yang mendapat perhatian ramai,” katanya.




Sumber:Kosmo

Post a Comment

0 Comments