Pelakon 'Keluarga 69' Toh Puan Julie Faridah Meninggal Dunia

 


Dunia hiburan kehilangan seorang lagi bintang seni tanah air iaitu Toh Puan Julie Faridah @ Joria Basir yang meninggal dunia kira-kira 1.37 pagi, Ahad di Hospital Pantai di Ipoh, Perak akibat jangkitan virus.


Menerusi kenyataan daripada Seniman, anak kepada arwah, Aziah Jasmin berkata ibunya menghembuskan nafas yang terakhir selepas dua minggu dimasukkan ke hospital.


Jenazah dimandikan dan dikafankan di rumah di Jalan Watson Ipoh sebelum dibawa ke Perkarangan Masjid Dato’ Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur suami arwah sekitar pukul 11 pagi, Ahad.


“Segala perjalanan urusan pengkebumian juga berjalan lancar dan bagi pihak keluarga, kami sangat terharu kerana arwah ibu diberikan penghormatan untuk semadikan diperkarangan Masjid Dato’ Panglima Kinta Ipoh, ” ujar Aziah.


Arwah yang berusia 77 tahun meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.


Allahyarham juga berbesan dengan Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana anak lelaki beliau Mohammad Yaakob berkahwin dengan anak bongsu Tuanku Raja Perlis, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza Binti Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin.


Toh Puan Julie Faridah terkenal dengan watak ‘Faridah’ menerusi filem Keluarga 69 arahan seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1967.


Arwah yang lahir pada 25 November 1944 di Bentong, Pahang terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif dalam dunia seni disebabkan mengikut arwah suami Datuk Seri Azizul Hassan yang bekerja sebagai pegawai kanan polis.


Ringkas biodata Allahyarhamah Toh Puan Julie Faridah




Dilahirkan pada 25 November 1944 di Bentong Pahang, eninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Pantai Ipoh kerana jangkitan virus, dikebumikan di Masjid Datuk Panglima Kinta Perak, mempunyai tiga orang anak bersama Azizul Hassan. Hobi bermain golf dan menunggang kuda, pernah menjawat jawatan Pengerusi Suria Gemilang.


KENAPA HILANG SELEPAS SATU FILEM?

TOH PUAN DATIN SERI JORIA

TIADA NIAT MAHU JADI BINTANG FILEM

TERDAPAT dua persamaan Julie Faridah dan Marion Willis. Pertama, berlakon satu filem kemudian hilang; kedua, filem yang mereka lakonkan itu diarahkan oleh P. Ramlee. Julie Faridah hilang selepas "Keluarga 69" (1967) Marion Willis pula selepas "Sumpah Orang Minyak" (1958).

"Saya takda niat pun nak jadi bintang filem," itulah nada yang mula-mula diluahkan oleh Julie Faridah dalam satu pertemuan eksklusif dengannya baru-baru ini.
"Saya berlakon dalam Keluarga 69 secara kebetulan," ujar Julie Faridah sebagai membalas soalan yang saya kemukakan.

Pada bulan June tahun 1964, Julie Faridah sudah pun bergelar isteri apabila dia berkahwin dengan Pegawai Polis (OCPD) Johor Bahru (ketika itu), Azizul Hassan.

Ketika tinggal di Johor Bahru itulah dia telah berkenalan dengan Mariani dan seringkali berkunjung ke rumahnya.

"Suatu hari, saya buat kunjungan seperti biasa ke rumah Mariani tapi kali ini agak luarbiasa kerana kunjungan tersebut membawa saya berkenalan dengan P.Ramlee yang secara kebetulan berada di rumahnya".

"Itulah pertama kali, saya bersua muka dengan P.Ramlee. Selama ini saya hanya mengenalinya melalui filem-filem lakonan dan arahanya saja."

Julie Faridah, dalam penilaian P. Ramlee, boleh menjadi pelakon filem. Wajahnya jelita juga. Kalau tidak, masakan dia dimahkotakan sebagai Miss Pahang pada bulan Februari tahun 1964.

Pada Mariani P.Ramlee mencurahkan hasratnya untuk mengambil Julie berlakon dalam filem arahannya yang terbaru, "Keluarga 69".

"Tawaran P.Ramlee itu, sukar juga saya terima kerana saya sudah bersuami dan ada seorang anak. Suami pula pegawai kanan polis.

"Begitu pun juga, saya bernasib baik kerana suami membenarkan saya berlakon. Dan sewaktu penggambaran, saya tinggal bersama saudara sebelah suami di Polis Depoh Jalan Gurney.

"Pada saya, P.Ramlee sangat baik orangnya. Sungguh pun saya pelakon baru dia tidak segan-segan menghantar saya pulang dengan kereta sportnya ke Polis Depoh selepas selesai penggambaran.

"Kadang-kadang P.Ramlee juga mempelawa saya makan tengahari yang mana membuat saya serbasalah. Maklumlah dia sudah begitu terkenal dan popular, saya pula baru nak bertapak dalam filem.

"Saya pernah juga, diajak P. Ramlee ke rumahnya yang kini sudah jadi Pustaka Peringatan P. Ramlee, makan tengahari bersamanya dan Saloma."

Dalam hal-hal berlakon Julie memberitahu, semasa berlakon pernah dia tidak boleh membawa watak sedih.

"Dengan cara baik P.Ramlee memujuk saya masuk ke dalam bilik dan dia bertanyakan mengenai hal peribadi saya supaya saya dapat membuat lakonan sedih sampai saya boleh menangis.

"Saya merajuk dan tak mau bercakap dengannya. P.Ramlee tau saya marah. Dan dalam hati saya, selepas filem ini saya tak nak berlakon lagi.

Rupa-rupanya gerak hati saya itu menjadi kenyataan kerana selepas "Keluarga 69" sampai sekarang saya tak pernah berlakon."

Julie juga memberitahu, semasa penggambaran filem "Keluarga 69" sebenarnya dia sedang mengandungkan anaknya yang kedua, Aini Faridah.

"Ada kalanya saya tak sihat tak dapat pergi shooting, tapi P.Ramlee tak pernah marah kerana dia memahami keadaan diri saya."

Julie menegaskan, kebiasaannya semasa menunggu persiapan setting untuk penggambaran, P. Ramlee orangnya sangat ceria dan periang, suka bercerita dan dia pula suka mendengar celotehnya itu.

"Diakhir penggambaran, P.Ramlee pula yang datang kepada saya meminta maaf di atas apa juga kesalahannya lebih-lebih lagi peristiwa membuatkan saya menangis."

P.Ramlee juga ada memberitahu Julie, yang dia akan mengarahkan filem mengisahkan dua adik beradik dan akan mengambilnya berlakon bergandingan dengan pelakon sudah popular yang namanya enggan disebutnya.

"Apakah itu satu guruan kerana P.Ramlee tau saya dengan pelakon tersebut tidak sehaluan atau sememangnya ada niat dihatinya. Saya tidak tau. Yang jelas hasratnya tidak pernah kesampaian."

Agak pelik dan mengharukan, selepas perpisahan tersebut, Julie tidak pernah bertemu P.Ramlee sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 29 Mei 1973.

Ditanya, kenapa satu filem saja. Julie Faridah menjawab, selepas selesai berlakon "Keluarga 69" dia mengikut suaminya bertukar tugas ke Klang kemudian ke Ipoh.

"Setelah mempunyai anak kedua, kesibukan membuatkan saya tidak mempunyai masa untuk meneruskan kerjaya saya sebagai pelakon filem. Cukuplah satu filem itu saja," jawabnya.

"Sungguhpun satu, namun saya berbangga kerana dapat berlakon bersama dan dibawah arahan P.Ramlee yang saya anggap sebagai Seniman Agung yang kehilangannya sukar dicari ganti."


Kredit : filemklasikmalaysia

Post a Comment

0 Comments