'Tunggu Sini, Ayah Nak Ke Tandas Kejap'.., Anak Umur 8 Tahun Salah Masuk Gelongsor Under Maintenance Ketinggian 50 Kaki

 


TAMAN tema air adalah acara liburan keluarga yang menjadi pilihan ramai susulan cuaca panas akhir-akhir ini.


Namun bagi seorang bapa, Luciano langsung tidak menjangka akan kehilangan permata hatinya, Davi Lucas de Miranda, 8 dalam aktiviti santai itu.


Kematian tragis Davi menggemparkan Brazil susulan terjatuh daripada sebuah gelongsor air yang dialihkan berketinggian 50 kaki (13.716 meter).


Kejadian yang berlaku di Taman Air Acqua Roma di negeri Goias, Brazil itu berlaku selepas Davi menaiki gelongsor yang dalam proses pembaikan.


Davi ke taman tema air itu bersama ayahnya dan adik lelakinya yang berusia setahun. Kejadian berlaku terlalu pantas, hanya dalam tempoh dia ditinggalkan sebentar oleh si bapa untuk ke tandas.


Kanak-kanak itu dipercayai tidak menyedari binaan tersebut sedang dalam penyelenggaraan. Bahagian taman tema air yang dinamakan 'Volcano' itu mempunyai empat gelongsor berasingan.



Davi berjaya masuk melalui pintu masuk Volcano yang hanya dilengkapi satu papan pemberitahuan di atasnya dan dipagari pita jalur.


Sebahagian daripada tiga gelongsor air telah dialihkan tetapi perubahan itu tidak dapat dilihat dari permulaan gelongsor.


Kanak-kanak lelaki itu dilaporkan memanjat ke permulaan gelongsor dan memasuki salah satu daripadanya. Hanya satu pintu masuk ke empat gelongsor itu ditutup dan Davi dilaporkan memasuki tiub gelongsor yang dibuka.




Davi terjatuh pada ketinggian 50 kaki (13.716 meter) lalu menghempap rangka kayu dan besi yang menyokong gelongsor berkenaan sebelum berguling ke dalam kolam.


Kanak-kanak itu masih hidup ketika diselamatkan bagaimanapun meninggal dunia di hospital.


Bapa Davi, Luciano memberitahu portal UOL Brazil tidak berpuas hati dengan tahap keselamatan taman tema itu.



"Bagaimana mereka membiarkan kanak-kanak pergi ke gelongsor air yang tidak beroperasi?" katanya.


Difahamkan kanak-kanak itu sudah terbiasa bermain di Volcano dalam kunjungan terdahulu, sebelum ia diselenggara.


Davi bagaikan memberi petanda akan pergi buat selama-lamanya. Luciano memberitahu anak sulungnya itu sudah beberapa kali meminta untuk dibawa ke taman berkenaan sehinggakan tidak boleh menunggu keesokan hari seperti yang dijanjikan.


Jasad kanak-kanak itu dikebumikan di kampung halaman keluarganya di bandar Conselheiro Lafaiete, negeri Minas Gerais. Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.


Membiarkan anak bebas bermain tanpa memberi pemantauan orang dewasa boleh mendatangkan bahaya.


Diharapkan kita sentiasa mengawal pergerakan anak-anak terutamanya ketika berada di lokasi berisiko seperti kolam renang, taman tema air, sungai, pantai atau tasik.

Post a Comment

0 Comments