Izinkan Anak Perempian Bawah Umur Hisap Rokok Daun, Kak KM Boleh Didakwa

 


Baru-baru ini tular sebuah video memperlihatkan sekumpulan remaja termasuk anak perempuan Kak KM berusia 12 tahun menghisap rokok daun yang dimuat naik usahawan kontroversi itu di laman Instagram.


Video berkenaan menerima kecaman netizen yang menganggap Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.


Tindakan Kak KM membenarkan anak perempuannya menghisap rokok tanpa disedari menyalahi Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kepada amalan tidak bermoral.


Akui tidak mengetahui tentang hal berkenaan, Kak KM bagaimanapun berkata apa yang berlaku itu di bawah kawalannya dan tidak membahayakan kesihatan kanak-kanak itu.


Dalam pada itu, Kak KM berkata ianya sekadar aktiviti suka-suka setiap kali pulang ke kampung serta mengimbau kembali kenangan ketika dia masih kecil.


"Seperti yang saya katakan anak saya hisap rokok tanpa tembakau dan ia berlaku di bawah kawalan saya serta di depan mata sendiri. Ia hanyalah momen untuk kami imbau kembali aktiviti yang pernah saya buat bersama arwah datuk ketika saya kecil.


"Saya juga hisap rokok daun tanpa tembakau. Jika ada yang kurang senang, saya minta maaf. Tiada niat untuk cipta kontroversi seperti ini," jelasnya.


Bercakap lanjut, Kak KM berkata, dia masih tahu bersikap rasional untuk tidak memberi sesuatu yang boleh memudaratkan kesihatan anak.


"Saya bukannya bodoh nak beri anak hisap rokok ada tembakau. Dalam video tersebut anak saya hanya hisap rokok daun tanpa tembakau dan tiada barang yang boleh memudaratkan kesihatan," katanya.


Tambah Kak KM lagi, dia bimbang jika anak-anak melakukannya secara sorok-sorok dan tindakannya itu adalah sebagai satu pengajaran buat mereka.


"Kepada ibu bapa yang kecam, biarlah kerana yang merokok dalam video itu adalah anak saya. Kita patut lebih risau kalau mereka merokok di belakang tanpa pengetahuan ibu bapa. Saya mahu anak rasa pengalaman hisap rokok supaya mereka tahu kesan yang akan diterima," ujarnya.



Untuk makluman, tindakan sebegitu boleh didakwa di bawah Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan anak kepada amalan tidak bermoral.


Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Post a Comment

0 Comments