Kesal Difitnah, Syarikat Pengeluar Sotong ‘Frozen’ Mahu Saman Netizen Sebar Khabar Angin

 


Beberapa hari lalu kecoh di media sosial mengenai dakwaan berkaitan status halal satu produk makanan sejuk beku iaitu hidangan sotong cincin yang dikatakan telah dihasilkan bukan daripada sotong sebenar, sebaliknya diperbuat daripada bahagian dubur babi.


Penyebaran info itu telah mencetuskan perdebatan netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan individu yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh memperdayakan golongan berusia yang mudah mempercayai berita sebegini.




Sehubungan itu, syarikat pengeluar produk berkenaan tampil menangkis dakwaan khabar angin yang tidak berasas menerusi satu sidang media. 


Syarikat itu juga bertegas mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap netizen yang menyebarkan dakwaan itu.




Ketua Pegawai Eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon berkata, mereka mendapati dua netizen menyebarkan khabar angin itu di Facebook untuk memburuk-burukkan produk cincin sotong keluaran syarikat induk mereka, Dayou Group di China


Netizen terbabit mendakwa, cincin sotong tersebut tidak halal kerana diperbuat daripada dubur babi.


Rodney berkata khabar angin itu menimbulkan panik di kalangan orang ramai dan merosakkan imej serta menjejaskan jualan produk mereka, menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar.


Satu laporan polis juga telah dibuat berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap produk tersebut.



Pihaknya juga menggesa polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyiasat dan membersihkan nama syarikat itu di bawah akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk membuat pendakwaan terhadap mereka yang terlibat kerana memfitnah.


Dalam sidang media itu, media turut ditunjukkan proses penghasilan cincin sotong dan sijil halal yang diperoleh untuk produk tersebut dari Shandong Halal Certification Services Sdn Bhd yang dilantik oleh JAKIM sebagai badan pensijilan halal asing di China.


“ Kesal tiada laporan siasatan JAKIM


Rodney turut menzahirkan rasa kesal terhadap siasatan yang dilakukan JAKIM dan KPDNHEP terhadap produk mereka di beberapa negara dengan mengambil sampel untuk ujian, tetapi tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai hasil ujian menyebabkan syarikat mereka tidak dapat menafikan fitnah netizen itu.


Sumber: MalaysiaKini

Post a Comment

0 Comments