Adik Ariff Yatim Piatu Sekelip Mata | Mak Ayah Meninggal Dunia Kemalangan Bertembung Pacuan 4 Roda

 


Gerik-  Pasangan suami isteri maut setelah kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu bertembung sebuah pacuan empat roda di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini semalam.


Mangsa, Mohd. Azmi Imas, 47, dan isteri, Rohani Abdullah, 48, mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.


Dua anak pasangan itu berusia 14 dan 18 tahun, masing-masing patah tangan kiri dan luka pada tangan.





Difahamkan, kejadian sekitar pukul 6.45 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Berang, Terengganu setelah menghantar anak mereka belajar di Bukit Kayu Hitam, Kedah.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nahas tersebut membabitkan kereta jenis Nissan Latio dinaiki mangsa dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 45 tahun.




Katanya, ketika kejadian, kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Jeli manakala kenderaan pacuan empat roda itu pula dari arah bertentangan.


“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan pacuan empat roda.


“Nahas itu mengorbankan mangsa dan isterinya manakala pemandu dan dua penumpang Mitsubishi Triton pula tidak cedera,” katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sumber: Kosmo

Post a Comment

0 Comments