Air panas termos tertumpah kena Bella, bukan Cuckoo

 


Kuala Lumpur: Jika sebelum ini saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood menyatakan kecederaan melecur pada tubuh Bella adalah disebabkan air panas daripada penapis air Cuckoo, hari ini saksi sama memberitahu lecuran tersebut adalah disebabkan tumpahan air panas daripada termos.


Ketika disoal balas oleh peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan, Yasmin,19, memberitahu tumpahan tersebut berlaku ketika Bella bergaduh dengan seorang lagi penghuni Rumah Bonda bernama Balqis. Punca kejadian dikatakan kerana Bella telah menghabiskan pencuci muka dan jajan (makanan ringan) Balqis.


Pada sesi perbicaraan sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa pengasas rumah penjagaan itu, Siti Bainun Ahd Razali akan menyimbah Bella dengan air panas yang diambilnya daripada mesin mesin penapis air Cuckoo apabila marah kepada remaja Sindrom Down itu sebanyak tiga kali sehari.


Nurul Hafidzah: Semasa awak beri keterangan pada pihak polis di lobi kondo, awak beritahu bahawa air termos tertumpah pada Bella.


Yasmin: Setuju.


Nurul Hafidzah: Termos ini yang ada di bilik laundry (bilik cucian)?


Yasmin: Setuju.


Nurul Hafidzah: Air termos yang tumpah bukan air Cuckoo?


Yasmin: Setuju.


Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes Siti Bainun, 31, yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.


Pertuduhan terhadap Siti Bainun dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, Yasmin tidak bersetuju bahawa kejadian Bella diikat sebenarnya dilakukan olehnya.


Nur A’minahtul: Kejadian ikat ini sebenarnya Yasmin yang ikat Bella dan dilihat oleh Siti (salah seorang penghuni Rumah Bonda).


Yasmin: Tak setuju.


Nur A’minahtul: Yasmin ikat Bella sebab tak kasi (beri) Bella minum air.


Yasmin: Tak setuju.


Nur A’minahtul: Cerita Yasmin ikat Bella ini boleh disahkan oleh Siti.


Yasmin: Tak setuju.


Nur A’minahtul: Keterangan yang Yasmin berikan di mahkamah adalah untuk memastikan bahawa Siti Bainun dipenjara.


Yasmin: Tak setuju.


Sementara itu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, saksi pendakwaan itu memberitahu dia tidak menceritakan kepada pihak polis mengenai kain yang digunakan untuk menyumbat mulut Bella sewaktu `didera’ kerana kain tersebut telah dibuang.


“Kain tu dah berbau, kain tu dah buang. Saya tak cerita kat polis pasal kain itu sebab takut Siti Bainun tahu  sebab Siti Bainun dah arahkan supaya jangan cerita apa-apa. Saya takut kalau cerita dan Siti Bainun tahu, nanti Siti Bainun marah. Lagipun pada masa itu saya tidak percayakan sesiapa pun,” kata Yasmin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi bersambung esok. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments