Didenda makan cili padi

 



IPOH – Gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya, seorang murid sebuah sekolah agama swasta di Taiping terpaksa menahan azab kepedasan apabila didenda makan cili padi tanpa diberi setitik air.



Akibat denda itu, Ainul Aiman Hafiz Ainul Azizul Rahman, 10, dimasukkan ke Hospital Columbia Asia Taiping dan disahkan mengalami Acute Gastritis (gastrik) dan trauma terhadap makanan bercili.



Ibunya, Siti Erna Izura Abd Jamil, 32, berkata, niat untuk memberikan pendidikan agama kepada anaknya itu telah menjadi igauan ngeri kepada mereka sekeluarga.


Menurutnya, guru-guru di sekolah itu juga tidak memaklumkan keadaan anaknya yang mengalami asma selepas memakan cili itu kepadanya.


“Lebih memilukan, saya tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar dua hari tanpa rawatan dan dibiarkan terbaring di katil asrama sambil menahan kesakitan.


“Keadaan itu diceritakan oleh bapa salah seorang pelajar yang kebetulan melihat Ainul Aiman Hafiz terbaring sambil menekan perut ketika mengambil anaknya di asrama itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Siti Erna berkata, Ainul Aiman Hafiz juga enggan kembali ke sekolah berkenaan kerana masih trauma dan dia merasakan hukuman itu tidak sesuai bagi kanak-kanak kecil.


“Ketika lawatan guru-guru sekolah itu ke hospital ini, mereka mengaku ada memberikan cili padi dan menerangkan bahawa hukuman itu adalah biasa di sekolah berkenaan.



“Mereka maklumkan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi kebenaran mengenakan hukuman tersebut dan mereka mengaku tersalah bagi hukuman kepada anak saya,” katanya.



Katanya, dia kecewa dengan sikap lepas tangan guru-guru sekolah berkenaan yang lambat memaklumkan kejadian itu kepadanya.


“Saya tergerak hati untuk menelefon sekolah, barulah mereka beritahu keadaan anak saya tidak mahu makan menyebabkan saya pergi mengambilnya dan barulah perkara ini terbongkar.



“Anak saya diwadkan selama empat hari bermula 15 April lalu. Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan saya dinasihatkan oleh Kementerian Pelajaran Negeri untuk bertemu dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi mengadu perkara ini.


“Saya telah pergi ke Pejabat Pelajaran untuk tukarkan anak saya ke sekolah lain. Difahamkan ramai lagi murid dipaksa makan cili kerana ia telah menjadi hukuman biasa bagi sekolah itu,” katanya.


Denda makan cili bukan syarat wajib


TAIPING - “Denda memakan cili bukan ketetapan yang dibuat pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini. Ia adalah denda alternatif kepada murid yang mengeluarkan kata-kata kesat itu pun setelah diberi amaran beberapa kali,” kata Guru Besar sekolah berkenaan, Azizul Rahim Mulkan.


Azizul berkata, guru yang terlibat itu baru sahaja tiga bulan bertugas di sekolah berkenaan mungkin tersalah anggap dengan setiap denda yang diberikan.


Menurutnya, guru berkenaan dan dua lagi pentadbir sekolah telah menziarahi murid tersebut selepas dimaklumkan ibunya mengenai keadaan anaknya, bagaimanapun dalam lawatan itu guru terbabit telah meminta maaf atas kesalahannya.



“Saya anggap perkara itu telah selesai tapi tidak sangka perkara ini akan berlarutan. Guru yang terlibat telah dikenakan hukuman gantung kerja selama tiga hari bermu­la 2 hingga 4 Mei ini sebagai pengajaran kepadanya dan guru-guru lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.



Beliau berkata, tidak adil bagi pihak sekolah dipersalahkan gara-gara tidak memberikan rawatan dan membiarkan murid itu terlantar selama dua hari seperti dalam kenyataan akhbar yang dibuat oleh ibunya kerana anaknya tidak memaklumkan bahawa dia sakit.



Katanya, pihak sekolah tidak pernah mengabaikan atau menyisihkan murid di sekolah berkenaan sekiranya mereka sakit, walaupun mereka mengalami demam atau kudis sekali pun, pihaknya tetap membawa pelajar ke klinik untuk rawatan.



“Pelajar yang didenda memakan cili tidak dipaksa untuk berbuat demikian sekiranya mereka tidak mahu. Itu hanya untuk menggertak sahaja dan bersifat mendidik. Dalam kes ini, pelajar itu sendiri yang makan dan kebetulan dalam keadaan perut kosong.



“Kita juga akan mendapatkan laporan doktor untuk memastikan pelajar terbabit sememangnya mempunyai sakit gastrik atau selepas insiden memakan cili tersebut,” katanya.



Jelasnya, pelajar berkenaan baru sahaja memasuki sekolah itu hujung bulan Mac lalu dan masih dalam tempoh percubaan untuk menyesuaikan diri.


“Kami menerima pelajar itu kerana keluarganya mahu dia belajar dan mendapat pendidikan agama di sini,” katanya.



Kelmarin, Sinar Harian telah menyiarkan berita mengenai seorang murid 10 tahun yang didenda memakan cili padi gara-gara mengoyak buku tanda protes kerana dihalang menghubungi ibunya.

Post a Comment

0 Comments