Kanak-kanak Maut Dilanggar Motosikal Ketika Beraya

 


ALOR SETAR, KEDAH: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun meraikan Aidilfitri hari ini, berakhir apabila dia maut dilanggar motosikal ketika keluar beraya petang tadi.


Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang, ketika Muhammad Shafiq Haikal Sahfiee melintasi jalan di Batu 9 Kota Sarang Semut, dekat sini.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mengesahkan murid tahun tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Hassan Hitam di Simpang Empat itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang lelaki berusia 22 tahun dari arah Kota Sarang Semut menuju Simpang Empat.







"Mangsa dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan motosikal terbabit tidak sempat mengelak, lalu berlaku pelanggaran.


"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk tindakan lanjut.


"Sementara penunggang motosikal terbabit hanya cedera ringan dan dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan," katanya mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Dalam pada itu, Ahmad Shukri menasihatkan orang ramai memantau aktiviti anak masing-masing terutama yang masih kecil ketika Aidilfitri, bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk risiko kemalangan ketika keluar beraya.


Sumber: BERITA HARIAN

Post a Comment

0 Comments