Nahas 7 Kereta, Lori Merempuh

 


Subang Jaya: Seorang pemandu lori melarikan diri selepas terbabit dalam nahas tujuh kenderaan menyebabkan lima termasuk dua kanak-kanak cedera di Kilometer 9.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini, malam tadi.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kejadian itu pada 11.55 malam.


Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.


"Menurut saksi kejadian, kemalangan membabitkan tujuh kenderaan namun ketika bomba tiba, hanya tiga kenderaan berada di lokasi iaitu lori yang melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki tujuh warga Bangladesh.




 "Manakala kenderaan lain dikatakan hanya mengalami kerosakan kecil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, lima mangsa cedera ringan masing-masing tiga mangsa dari kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 13 dan 10 tahun, manakala dua lagi mangsa dari MPV iaitu wanita berusia 59 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.


Menurutnya, kesemua mangsa terbabit dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum bomba tiba dan mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.


Bagaimanapun, kata beliau, pemandu lori tidak dapat dikesan di lokasi dipercayai menghilangkan diri.

Post a Comment

0 Comments