Jawapan Kenapa Filem 'Mat Kilau' Tak Betul-Betul Tiru Sebiji Perjuangan Sebenar

 


Tahniah Syamsul Yusuf, barisan pelakon dan semua krew di atas kutipan mencecah RM 11 Juta setakat ini!!


Filem Mat Kilau yang diarahkan oleh Syamsul Yusof telah mendapat bantahan daripada salah satu persatuan silat yang merupakan anak cucu kepada pejuang Tanah Melayu itu.


Mereka mendakwa, bahawa filem Mat Kilau ini tidak menepati banyak aspek dengan sejarah hidup Mat Kilau yang sebenar. Termasuklah penggunan keris dalam filem ini. Namun, saya ingin ungkap mengenai matlamat sesebuah filem dihasilkan.


Filem hakikatnya, adalah propaganda. Propaganda untuk menaikkan sesebuah negara atau bangsa secara tidak langsung. Contohnya filem Ip Man. Kisah dan plot empat siri filemnya, sebenarnya jauh menyimpang daripada kisah sebenar Ip Man.


Ip Man digambarkan di layar perak begitu hebat, sehingga pernah mengalahkan ramai musuh dari berbilang bangsa. Sehingga Ip Man dianggap tidak terkalah pada hayatnya dalam dunia seni tempur. Padahal, ia hanyalah rekaan daripada penulis skrip dan sutradaranya.


Walaupun rekaan, filem Ip Man ini telah berjaya menaikkan nama seni kung fu Wing Chun dan bangsa Cina di seluruh dunia. “Dunia” beranggapan, semua orang Cina handal atau setidak - tidaknya, punya asas Kung Fu. Itulah “propaganda” yang saya maksudkan.


Begitu juga dengan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof ini. Ia adalah sebuah kisah fiksyen yang “menginspirasikan” pejuang Melayu yang bernama Mat Kilau. Dalam filem ini, sutradara menggambarkan susuk tubuh Mat Kilau yang hebat dan penuh berkarisma.


Dalam masa yang sama, turut memaparkan semangat orang Melayu yang jitu dalam memepertahankan tanah air sendiri. Sanggup menggadaikan nyawa, demi mempertahankan maruah dan tanah air. Mat Kilau menjadi pencetus semangat, kepada orang Melayu yang dianggap lemah dan lekeh oleh penjajah.


Lebih bermakna, apabila sutradaranya menyampaikan mesej keTuhanan dan keIslaman kepada penonton. Memperlihatkan, bahawa sesebuah bangsa akan menjadi kuat, apabila menjunjung agamanya ditahap yang tertinggi dalam jiwa dan sanibari.


Tidak dinafikan, filem Mat Kilau punya beberapa kelemahan dari segi teknikal. Namun, ia masih boleh diperbaiki pada masa akan datang. Saya percaya, jika diberi peluang, kepercayaan dan dana yang cukup. Syamsul mampu hasilkan karya yang jauh lebih baik.


Jika orang Cina berbangga dengan filem Ip Man, maka kita sebagai orang Melayu mesti berbangga dengan filem Mat Kilau ini. Kita mesti memberi sokongan padu, supaya filem pejuang yang lain pula akan diangkat.


Contohnya seperti Tok Janggut, Mat Salleh, Datuk Maharaja Lela, Rentap, Antanom dan Tok Gajah pada masa hadapan. Jika filem Mat Kilau ini mendapat sambutan box office seperti Munafik 2, tidak mustahil dunia perfileman kita akan meriah dengan kisah - kisah pejuang di tanah air kita.


Marilah kita memberi sokongan padu kepada filem Mat Kilau yang telah  memulakan tayangannya pada 23 Jun.


Kredit: Brader Filem

Post a Comment

0 Comments