Kanak-Kanak Maut Kebulur, Terpaksa Makan Cicak

 


Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh penjaganya di kediaman mereka di Klebang Jaya, di sini petang semalam.


Mangsa, Nor Saraniya Abdullah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dihubungi penjaganya selepas mangsa tidak sedar diri dan mengalami pendarahan pada mulut.


Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia pada petang Selasa lalu di kediaman pengasuhnya.


Wanita berusia 26 tahun terbabit yang juga pengasuh kanak-kanak malang berkenaan dibenarkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Suspek yang juga dipercayai penagih dadah ditahan polis kira-kira 2.30 petang semalam di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan hari ini polis meminta tahanan reman untuk menjalankan siasatan lanjut.


Bapa mangsa, Mohamad Hajimeer Dollah, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di Gua Musang kerana bekerja sebagai pemandu lori, manakala isterinya Halimah Abdullah, 38, berada di Muar, Johor juga kerana urusan kerja.


Pengasuh berkenaan mendakwa anak bongsu saya terjatuh selepas memanjat katil dua tingkat dan menangkap cicak serta memakan binatang berkenaan, tetapi mana masuk akal budak sekecil itu pandai menangkap cicak untuk makan,” kata Mohamad Hajimeer Dollah, 34, bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang meninggal dunia dipercayai didera oleh pengasuhnya.


Sementara itu, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak berkenaan meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman akibat kurang zat makanan, selain terdapat kesan luka akibat penderaan pada badan mangsa.


Lebih menyayat hati, tubuh mangsa turut mempunyai pelbagai kesan penderaan dipercayai dipukul dengan objek seperti kayu, besi serta penyangkut baju.


DAKWAAN 

Pasangan terbabit iaitu Mohammad Hajimeer Dollah, 30, dan isterinya S Nasavalli, 38, atau nama Islamnya Halimah Abdullah didakwa dengan sengaja membiarkan anak mereka Muhammad Darwen Raj Abdullah, 6, dan Nor Sarinya Abdullah, 3, tinggal tanpa pengawasan hingga menyebabkan kecederaan kepada mereka pada 28 Disember 2014 hingga 3 Mac 2015 di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, di sini.


Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 33c Akta Kanak-Kanak 2001 di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini iaitu kes membabitkan Nor Sarinya di Mahkamah Majistret 2, manakala kes membabitkan Muhammad Darwen di Mahkamah Majistret 3.


Manakala pengasuh P Nalani Devi, 26, didakwa menganiaya dan membiarkan dua beradik terbabit hingga mengalami kecederaan fizikal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.


Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


Suami isteri berkenaan diwakili peguam Kathan Maruthamuthu, manakala pengasuh di wakili peguam EP Seeralasittan dan Chiang Mei Wan.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naidatuh Athirah Azman dihadapan Majistret Suhaima Mohd Noor bagi Mahkamah Majistret 2 dan Haslinda A Raof di Mahkamah Majistret 3.


Bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi oleh suami isteri terbabit mereka dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan dua penjamin, manakala pengasuh pula dikenakan jamin RM35,000 dengan empat penjamin bagi dua pertuduhan itu.

Post a Comment

0 Comments