Lagi arahan Tengku Hassanal pada polis jangan siasat Noor Jehan

 


KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah memohon maaf kepada Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar yang disiasat kerana didakwa menghina baginda menerusi tweet yang telah dipadamkan.


Memetik laporan TheStar, Tengku Hassanal menyampaikan pesanan peribadi kepada Noor Jehan melalui Instastory dengan menjelaskan tentang kelewatan baginda tiba ke Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan di Pantai Chenor di sini, 18 Julai lalu.


Melalui pesanan itu, baginda memberitahu terlewat kerana masalah kesihatan selepas pulih daripada demam panas.


"Mohon maaf kerana lambat hadir ke majlis tersebut. Saya tidak sihat pagi itu dan terpaksa mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua orang.


"Saya sangat menghargai masa dan terima kasih atas keprihatinan anda, terima kasih," tulisnya dalam pesanan itu.


Menurut laporan TheStar juga, baginda turut meminta pihak polis supaya tidak meneruskan siasatan ke atas aktivis itu selepas mengetahui berhubung perkara tersebut.


Sebelum itu, Noor Jehan disiasat atas dakwaan menghina Tengku Hassanal menerusi tulisan di Twitter pada 18 Julai lalu yang sudah dipadam.


Dalam tulisannya itu, dia memberitahu Tengku Hassanal dan beberapa pegawai tinggi lewat dua jam ke program tersebut.


Kerana tweetnya itu, Noor Jehan telah dipanggil untuk siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 500 dan 500(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan berunsur fitnah serta Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.


Noor Jehan bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk memfitnah sesiapa, sebaliknya hanya melepaskan kekecewaannya kerana terpaksa menunggu selama dua jam untuk program itu.


Dia juga mendakwa keliru apabila disiasat hanya kerana berkongsi pengalaman dengan pengikut Twitternya.

Post a Comment

0 Comments