Wanita Perancis mengalami pendarahan haid tidak menentu, kerajaan gesa buat laporan

 


PARIS: Pihak berkuasa kesihatan Perancis meminta wanita yang mengesyaki kitaran haid mereka terjejas disebabkan vaksin COVID-19 supaya melaporkan sebarang perubahan menerusi laman web kerajaan.


Cadangan daripada Agensi Keselamatan Perubatan Kebangsaan (ANSM) itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menyiasat kemungkinan kesan sampingan vaksin Pfizer dan Moderna dengan sebanyak 70 juta dos vaksin diagihkan kepada wanita di Perancis.


Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, ANSM menggesa wanita yang berdepan masalah itu memberikan 'maklumat terperinci sebanyak mungkin dalam borang deklarasi' yang disediakan di laman web Kementerian Kesihatan.


Kenyataan itu berkata, kira-kira 11,000 wanita melaporkan kepada doktor mengenai perubahan kitaran haid, kebanyakannya membabitkan gejala 'tidak serius', termasuk haid tidak menentu, pendarahan haid berlebihan atau sedikit berbanding kebiasaan.


Kebanyakan kes membabitkan kesan jangka pendek selepas divaksinasi, bagaimanapun setakat ini belum ada pengesahan bagi mengaitkan kes berkenaan dengan kesan sampingan vaksin COVID-19.


Kajian yang diterbitkan minggu lalu dalam jurnal Science Advances mendapati, sebanyak 42 peratus responden dalam tinjauan dijalankan melaporkan mengalami haid dengan pendarahan berlebihan selepas divaksinasi.


Selain itu, dapatan kajian menunjukkan berlaku beberapa pendarahan tidak dijangka membabitkan wanita selepas menopaus dan lelaki transgender menerusi hormon yang mengesahkan jantinanya.


Tinjauan terhadap 39,000 individu dijalankan kumpulan penyelidik di Universiti Illinois dan Sekolah Perubatan Universiti Washington yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada April tahun lalu.


Penyelidikan berasingan dijalankan oleh Universiti Kesihatan dan Sains Oregon menggunakan data hampir 4,000 individu pada Januari lalu menunjukkan secara purata, wanita yang divaksinasi mengalami sedikit kelewatan hampir sehari dalam permulaan haid berbanding mereka yang tidak divaksinasi.


Peningkatan sedikit dalam tempoh kitaran haid tidak dinilai sebagai signifikan secara klinikal, menurut pengarang utama yang menerbitkan penemuannya dalam 'Obstetrik dan Ginekologi'.


Laporan mengenai perubahan kitaran haid turut dimanipulasi individu yang menentang program vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan di kebanyakan negara pada tahun lalu.


Kumpulan pakar turut berkata, pelbagai maklumat salah dan tidak sahih berleluasa di media sosial. - AFP

Post a Comment

0 Comments