Bapa Turut Terjun Selepas Buang Anak Dari MRR2 I Mayat dikenalpasti



Kuala Lumpur: Lelaki warga Myanmar bertindak kejam apabila mencampak tiga kanak-kanak dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berketinggian 20 meter berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya di sini sebelum dia sendiri bertindak terjun dari jejambat berkenaan.


Kejadian pada 5.50 pagi itu menyebabkan dua kanak-kanak masing seorang lelaki dan perempuan berusia enam hingga lapan tahun serta lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengalami kecederaan parah.


"Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun terbabit dilihat berjalan sambil mengendong seorang kanak-kanak, manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.


"Saksi cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2, lelaki berkenaan juga bertindak terjun," katanya satu dalam kenyataan hari ini.


Eng Lai berkata, semua mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya.


"Lelaki dan dua orang kanak-kanak Myanmar berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan memandangkan keadaan mangsa yang sangat kritikal.


"Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di perut dan juga keretakan pada rusuk kirinya," katanya.


Menurutnya, semua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.


Difahamkan, lelaki berkenaan dan seorang kanak-kanak perempuan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).


"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan GS Baldev Singh di talian 012-480 6062 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222,"katanya.

Post a Comment

0 Comments