Baru 2 hari pakai 'Alza' baru, wanita berhadapan detik cemas berlaku kemalangan

 

KEADAAN sebuah Perodua Alza yang terbabit dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 36 Jalan Tampin Gemas, berhampiran persimpangan Jalan Kampung Sungai Dua, di Tampin, semalam.

TAMPIN: Hanya selepas dua hari memiliki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang baharu dilancarkan oleh Perdana Menteri dua minggu lalu, seorang wanita terbabit kemalangan dalam nahas empat kenderaan semalam.


Kejadian yang berlaku di Kilometer 36 Jalan Tampin Gemas, berhampiran persimpangan Jalan Kampung Sungai Dua, di sini kira-kira pukul 5.55 petang itu menyebabkan Perodua Alza berwarna hitam milik guru berusia 37 tahun itu rosak teruk di bahagian hadapan.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.55 petang membabitkan kenderaan Perodua Alza, Perodua Kancil, Proton Saga dan sebuah kereta jenis Hyundai.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Alza berkenaan dari arah Gemencheh menuju Bukit Jalor Air Kuning Selatan telah berhenti di simpang Jalan Kampung Sungai Dua-Air Kuning Selatan bersama sebuah kereta Perodua Kancil di belakangnya untuk masuk simpang yang sama. 


“Sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 18 tahun terus keluar dari simpang iaitu dari arah Air Kuning Selatan ke arah Gemas berlanggar dengan sebuah kereta jenis Hyundai yang melalui jalan utama iaitu dari arah Gemas ke Tampin.


“Kejadian berkenaan menyebabkan pemandu kereta Hyundai hilang kawalan dan melanggar kereta Perodua Alza yang menunggu untuk membelok,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Anuwal berkata, pemandu kereta Perodua Kancil luka di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Tampin sebagai pesakit luar. 


Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/1959).


Dalam pada itu, gambar kejadian kemalangan tersebut turut tular di media sosial dengan rata-rata netizen menyatakan rasa simpati terhadap pemilik Perodua Alza tersebut.

Post a Comment

0 Comments