"Didoa Supaya Cepat Sembuh" - Ibu Berhati Mulia Sanggup Derma Hati Untuk Anak Sakit Kronik

 


Tak duga semua ini berlaku

AKUI seorang ibu, hatinya tidak pernah tenang selepas doktor mengesahkan anaknya, Nurul Syuhada Zulkifli menderita penyakit hati kronik.

Dek tidak sanggup melihat penderitaan puteri kesayangan, Norhariati Ahmat Yaakob, 45, dengan nada sebak berkata, beliau rela untuk menggantikan nyawanya.

Cerita Norhariati, ketika si kecil yang manja dipanggil Syuhada menginjak usia sebulan, penyakit kuning yang dialaminya tidak surut, malah berlarutan dalam tempoh yang cukup lama.

Selepas dirujuk ke beberapa hospital termasuk di Hospital Kuala Lumpur, barulah doktor pakar memaklumkan keadaan sebenar Syuhada yang mengalami masalah hati kronik.


“Ketika itu, doktor syorkan untuk laksana prosedur yang dipanggil sebagai kasai sebagai opsyen terbaik untuk merawat Syuhada.

Walaupun hati saya berat kerana usianya masih terlalu kecil, namun demi melihat anak saya sihat, saya terpaksa akur,” ujarnya.

Suri rumah yang menetap di Pangsapuri Casa Ria, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor itu berkata, mereka sekeluarga lega apabila pembedahan tersebut berjaya dan tiada sebarang komplikasi serius berlaku.

“Ketika itu, doktor syorkan untuk laksana prosedur yang dipanggil sebagai kasai sebagai opsyen terbaik untuk merawat Syuhada.

Walaupun hati saya berat kerana usianya masih terlalu kecil, namun demi melihat anak saya sihat, saya terpaksa akur,” ujarnya.

Suri rumah yang menetap di Pangsapuri Casa Ria, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor itu berkata, mereka sekeluarga lega apabila pembedahan tersebut berjaya dan tiada sebarang komplikasi serius berlaku.

Pun begitu, kegembiraan itu bersifat sementara. Sebaik pemeriksaan susulan dilakukan, paras bilirubin semakin tinggi dan ia cukup berbahaya kepada Syuhada.


“Pembedahan itu sebenarnya gagal kerana berlaku penolakan dalam badan Syuhada. Perutnya membuncit, manakala badan dan matanya kekuningan. Kemudian doktor cadangkan untuk lakukan pemindahan hati,” katanya.

Terbang ke China

Tidak mahu melihat anaknya terus terbaring lemah, Norhariati mengambil keputusan drastik untuk mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan Syuhada.

Pun begitu, suri rumah itu memberitahu, prosedur berkenaan hanya boleh dilakukan di Shanghai, China yang semestinya memerlukan kos yang cukup tinggi.

“Dana yang diperlukan ketika itu sebanyak RM160,000 dan cukup sukar untuk kami nak kumpul duit kerana suami hanya bekerja sebagai penyelia kilang. Namun, tanpa disangka, urusan kami dipermudahkan walaupun mengambil masa setahun untuk mengumpulkan dana.


“Ketika itu umur anak bongsu saya ini sudah dua tahun dan kami terbang ke China dengan harapan yang cukup tinggi. Syukur sangat-sangat kerana selain dibantu adik beradik dan kawan-kawan, pertubuhan Nadi Permata banyak meringankan urusan kami sepanjang berada di China pada tahun 2015,” ceritanya mengimbau kenangan yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

Ujar Norhariati, walaupun gementar berdepan sebarang kemungkinan sepanjang pembedahan pemindahan hati tersebut, namun dirinya tidak putus-putus berdoa dan berserah kepada ILAHI.

“Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sahaja sedar daripada bius yang panjang hanyalah bertanyakan keadaan Syuhada. Waktu itu saya tak endahkan kesan pembedahan yang masih sakit. Banyak persoalan timbul di benak saat itu, selain tertanya-tanya kondisi Syuhada, adakah berlaku penolakan atau prosedur itu menjadi atau tak?


“Suami saya masa itu hanya tersenyum dan memaklumkan keadaan Syuhada stabil. Tidak dapat digambarkan perasaan kami ketika itu dan betapa sayunya hati ini melihat Syuhada semakin stabil,” kongsinya yang pulang semula ke Malaysia selepas hampir dua bulan berkampung di negara tersebut.

Tatkala bercerita mengenai perkembangan terkini puterinya yang kini sudah berusia sembilan tahun, suara suri hati kepada Zulkifli Ibrahim itu kembali ceria.

“Alhamdulillah, Syuhada sudah bersekolah dan aktif seperti kanak-kanak lain. Cuma sekarang ini bergantung kepada ubat khas untuk mengelakkan berlaku risiko penolakan dalam badan.


“Kalau diikutkan, hati ibu mana yang tenang mengenangkan anak yang masih berdepan risiko komplikasi dalaman, cuma saya tak pernah berhenti berdoa supaya si kecil ini diberikan kesihatan yang baik berpanjangan,” katanya.

Saat paling mendebarkan dalam hidup Norhariati apabila mereka sekeluarga termasuk Syuhada disahkan positif virus Covid-19 pada Ogos tahun lalu.

“Saya tak hiraukan diri saya, tapi sangat bimbang dengan keadaan Syuhada kerana takut dengan risiko yang bakal dihadapi, namun alhamdulillah kesannya tidak terlalu teruk.


“Sekarang ini pun, setiap kali membawanya untuk rawatan susulan, saya sentiasa bimbang. Doktor pun cakap Syuhada akan terus bergantung kepada ubat khas sampai besar nanti. Apapun, saya mengharapkan doa semua supaya Syuhada terus sihat,” katanya penuh harapan.

Post a Comment

0 Comments