Penunggu Presint 18, Putrajaya Yang Menyeramkan

 


Ikuti perkongsian pengalaman sebenar menyeramkan oleh Muhammad Luqman yang tinggal di Putrajaya. 


Kisah ni kisah benar pengalaman aku sendiri semalam 9 september 2021 (baru aku sedar malam jumaat rupanya) 


Aku pergi lah nak cuba jog dekat kawasan baru di Putrajaya memandangkan P2 P3 dan P4 selalu ada polis ronda ronda dekat situ. Jadi aku dengan kawan aku google punya google ada satu jogging track di Precint 18, tepi tasik. Hujung jalan tu ada satu stesen minyak Shell. Dekat situ aku park kereta dan singgah ke toilet Shell tu. 


Masa aku singgah tu jam 8.00pm. Shell tu pekerja dia dah balik tapi toilet dia masih buka. Kemudian lepas aku keluar toilet, aku terdengar bunyi macam apps Duolingo, apps tu kalau kita jawab betul quiz dia, dia akan bunyi "tingting", dalam 5-6 kali jugaklah aku dengar memang sangat-sangat jelas gila. Macam mana aku tau bunyi tu sebab kawan aku ni suka betul main Duolingo, memang addict betul dia main Duolingo belajar bahasa german.



Jadi bila kawan aku keluar toilet aku tanya la dia ada main Duolingo ke dalam toilet, sekali dia kata eh mana ada main battery pun dah habis. Ok, masa tu aku pun dah mula rasa pelik, apa yang aku dengar tadi, tanya aku dalam hati. Aku ni jenis yang tak layan sangat perkara-perkara mistik ni, bagi aku sesuatu kejadian tu pasti ada penjelasan saintifik dia contohnya getaran bunyi, ilusi optik, atau halusinasi fikiran sendiri dll.


Jadi aku tak peduli, aku cuma 'dismiss' benda tu dan terus jogging. Masa mula jog tu dah 8.15pm. Kami mula jog dari Shell dan pergi ke arah jambatan yang melalui pusat futsal sebelah bangunan Gas Malaysia tu. 


Dari situ aku perasan satu benda, tempat tu sunyi sesunyinya, bak kata Mat Salleh pin-drop silent, maknanya jarum jatuh pun boleh dengar. Aku tak rasa macam tempat ni orang suka jog malam-malam, tapi dalam hati aku lagi suka lah sebab memang niatnya nak cari tempat takde orang / polis.


Aku dan kawan aku ni jog lah, layan punya jog. Aku ni bila dengan dia ni memang selalu menganjing dia sebab dia ni penakut hantu sangat. Jadi aku selalu la menyakat dia, tapi yang jadikan dia ni berani nak jog ni pun sebab dia pergi dengan aku, bagi dia aku ni suka dismiss cerita² yang kononnya seram² dari alam angker ni, dia rasa ada teman, jadi kuat la semangat sikit.


Keadaan makin sunyi dan makin sejuk, lampu hala ke jambatan tu makin lama makin suram, ada kawasan tak berlampu. Dan aku punya 'jogging pace' ni dah jadi makin cepat dan makin penat dan selalu 'cramp' di bahagian perut sebelah kanan. 


Masa jog, aku pakai 'earphones', 'earphones' aku ni ada satu 'feature' untuk dengar lagu dan pada masa sama boleh dengar 'surrounding', biasanya kalau jog aku akan 'activate'kan 'feature' ni sebab takut ada kereta datang dari arah belakang so aku boleh dengar bunyi kereta tu kalau ada. 


Jadi bila sampai satu tempat tu yang takde perumahan langsung, gelap saja, kanan aku tasik, kiri aku hutan tebal, tiba-tiba aku rasa seram sejuk pulak dekat situ.


Bayangkan belah kanan kau hutan tebal meninggi dengan pokok besar yang tua dan banyak daun-daun yang berjurai lama sampai ke tanah dan kanan kau pulak ada tasik sunyi yang berkabus, seram sejuk woo. Aku yang tak layan sangat benda benda mistik ni pun boleh rasa macam tu nak tunjuk betapa angkernya kawasan tu.


Sambil elok aku duk layan pace aku jog, tiba tiba aku dengar bunyi apps Duolingo tu datang betul² dari arah hutan tu. "TINGTING!" ... Allahurabbi... Aku tengok kawan aku takde buat apa-apa reaksi, jadi aku simpulkan bunyi tu memang aku sorang je dengar. 


Aku punya jantung dah makin laju masa tu dan aku cramp berkali2, minta kawan aku stop kejap sambil aku baca ayat Qursi dalam hati. Aku tak bagitau kawan aku sebab takut dia panik, aku telan sorang² je.


Sampai di perkarangan jambatan tu kawan aku mengada nak naik pulak dan rentas lalu dan jogging di sebelah sana tasik pulak. Aku kata jangan, aku bagi alasan polis ada situ. Padahal aku dah seram ni dan aku fikir kawasan tu dah la takde orang, at least, belah sini tasik ni ada la jugak perumahan, kalau ada apa apa, boleh je la nak terpekik terlolong dekat situ mintak tolong kan. 


Kawan aku ni mengada duk tanya soalan-soalan 'obvious' kenapa taknak jog belah sana, takut ke, takut ke. Eh, main nak perli aku pulak dah, aku diam je, aku cuma bagi alasan tak payah lah lalu jambatan tu, nanti silap2 kena saman kang baru tahu (Putrajaya tak boleh jog lepas jam 8pm) padahal dia tak tahu aku ni dah seriau ni dengar bunyi musibat mana entah main duolingo dalam hutan tebal malam-malam.


Masa on-the-way balik tu pulak phone aku pulak yang dah habis bateri, jadi aku dah tak boleh dengar lagu dan tak boleh tengok 'map'. Jam aku je yang record 'fitness activity' aku. Masa balik aku lalu dekat satu rumah besar yang gelap, aku simpulkan situ rumah takde penghuni sebab memang ada banner kuning standard yang agent-agent iklan untuk jual rumah tu. Masa malam tu aku tak nampak dia tulis apa, bila siang aku cari google rumah tu untuk disewa rupanya.


Ceritanya, kawan aku ni dia jog depan aku, sekali dia 'stop' belakang rumah tu, dia tenung lama. Bila aku sampai sebelah dia aku tanya kenapa, nampak apa? Lepas tu muka dia jadi pucat habis, tiba tiba panik tak tentu pasal, dia kata "jom jom jom cepat cepat balik." Aku terus panik, alamak apa benda pulak lah dia nampak ni, aku punya seram pun tak habis lagi, tambah dengan dia punya pulak daaah.


Lepas tu angin kuat duk tiup dari arah tasik, dalam hati aku tobat taknak dah jog malam² area-area aku tak kenal ni. Lari punya lari, pecut punya pecut nampak ada motor polis datang kearah sini, menggelabah kami reroute ke jalan lain, dari lalu tepi tasik, lalu ke jalan besar pulak. Dari seram kepada momok seram kepada polis pulak. Seram woo kena saman musim² PKP ni.


Pendek cerita, sampai lah ke kereta, aku tanya kawan aku tadi nampak apa di rumah tu. Sekali dia kata "haaa itu la nak cerita ni", tadi dia nampak ada nenek tua pendek duk berdiri je tepi balkoni tu, masa mula² dia nampak tu dia tak percaya mata dia, jadi dia stop kejap untuk imbas buat kali kedua, kali kedua makcik yang tepi balcony tu dah hilang. 


Dia kata nenek tu bongkok sampai nampak macam pendek. Kedudukan makcik tua tu betul² menghala ke arah dia dan duk tenung dia dari arah balcony tu. Dalam hati aku memang dah agak dah mesti ada 'benda' tegur dia ni, mak aih tengah cerita balik ni pun rasa berdiri bulu roma.



Bila aku teringat balik, aku teorikan 'benda' ni dia kacau deria kita yang paling kuat, aku ni kelebihan aku ialah pada telinga aku, aku selalu mampu dengar bunyi² yang jauh². Kalau ada banyak sumber bunyi dalam satu tempat tu, aku boleh asing²kan satu² bunyi tu dan kalau aku tengah buat apa² pun telinga aku ni sangat sensitif boleh dengar dan ingat apa yang berlaku sekeliling aku walaupun orang lain kadang² tak perasan pun bunyi tu. 


Kawan aku ni pulak dia punya kelebihan ialah pada penglihatannya yang kuat, malam ke siang ke memang jauh dan tajam mata dia, boleh nampak terang dan jelas. Jadi sebab itu aku diganggu dengan bunyi manakala kawan aku pula diganggu dengan penglihatan. Jauh di sudut hati aku, aku rasa takpe lah tak nampak pun, yang dengar tu pun dah cukup merinding. 


Tambahan pula Putrajaya ni memang asalnya kawasan kelapa sawit dan banyak petempatan orang asli yang telah dipindahkan sebelum Putrajaya dibina. Persoalannya, adakah kubur² lama tradisi orang asli tu pun dipindahkan, aku tak rasa gomen akan nak pergi seteliti itu. Entah² kawasan² hutan yang takde pembangunan tu memang bekas² kubur² tinggalan tok batin-tok batin orang asli waktu silam dulu sehingga bermasalah untuk buat apa-apa pembangunan. 


Bila cerita pasal orang asli ni faham-faham saja lah ilmu dan amalan silam mereka ni penuh campur tangan makhluk sebelah sana, rumit dan bukan senang difahami semua orang. Barangkali ada tempat² yang pernah diletakkan 'penjaga' kononnya untuk menjaga rumah, kebun, tanaman atau harta masih ada hingga ke hari ini.


Jadi aku fikir 'benda' ni akan bagi kau rasa betul² percaya dengan gangguan tu sampai kau tak rasa syak pun, sebab ia datang dari deria kau yang kau yakin. Bunyi tu aku dengar dua kali, dalam hati aku sah lah memang 'benda' ni tak puas hati dengan aku memang nak ganggu aku sebab aku selalu sangat skeptik dan tak percaya. Kali ini, aku lebih yakin dengan keberadaan 'benda' ni serta gangguan² dia.


Nota: Disini aku tunjukkan peta, masa, tarikh dan kawasan aku dikacau sekali dengan rumah misteri tu, aku tak pasti rumah itu ke tak, tapi mungkin kawasan situ. 



Sumber: Muad Luqman Hakim Ghani

Post a Comment

0 Comments