Rakyat Kedah Sedih Projek Musang King Tetap Diteruskan

 

Hutan Simpan Rimba, Teloi Sik yang mana tempat projek musang king dijalankan


BALING: Projek ladang durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, Sik, akan diteruskan selepas ia mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya juga sudah menerima laporan daripada jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji risiko kejadian bencana alam seperti banjir dan aliran puing di hutan simpan kekal berkenaan.


"Saya baca laporan pada jawatankuasa yang ditubuhkan di Sik itu, mungkin ada risiko tapi kita harap tak adalah.


"Kalau ada EIA, pihak yang ada kepakaran sudah kaji. Jika ada risiko besar, mungkin tidak dibenarkan (laksanakan projek). Sudah ada EIA, jadi boleh tanamlah," katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai projek penanaman durian Musang King di HSK Rimba Teloi, Sik berisiko kejadian banjir dan kepala air seperti yang berlaku di Gunung Inas Kupang Baling 4 Julai lalu.


Dalam kejadian 4 Julai lalu, banjir dan kepala air dari Gunung Inas, mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan kehidupan lebih 800 mangsa.


Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mendakwa, gambaran HSK Rimba Teloi, Sik digondolkan seperti laporan media sebelum ini adalah tidak tepat.


Beliau berkata, hasil pemantauan terkini yang dijalankan jawatankuasa terbabit, yang diketuai pegawai daerah Sik mendapati, kawasan berkenaan sudah dilitupi dengan tanaman tutup bumi.


"Pegawai daerah sudah tubuh jawatankuasa, sudah bawa pergi melawat semua tempat yang berisiko. Hutan simpan kekal Sik itu rupa buminya tidak tinggi macam Gunung Inas.


"Ia kawasan berbukit juga tapi tak tinggi sangat dan jarak dengan kampung terdekat dalam dua kilometer lebih," katanya.


Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa KEDA Kampung Sadek, di sini.

Post a Comment

0 Comments