Larangan Penjawat Awam Komen Di Media Sosial

 


Sri Lanka: Sri Lanka melarang keras kakitangan kerajaannya menyuarakan sebarang komen atau pendapat di media sosial selepas beberapa pegawai kerajaan bertindak memberitahu pelajar sekolah pengsan akibat kekurangan makanan akibat krisis ekonomi terburuk melanda negara itu.


Larangan itu berkuatkuasa sudah lama dan terbaharu kerajaan Sri Lanka berhadapan pandangan serong dari dunia luar kerana tindakan komen menjatuhkan imej negara itu.


Kementerian Pentadbiran Awam dan Pengurusan berkata, larangan bercakap kepada pemberita sudah lama berkuat kuasa dan terbaharu, arahan membuat hantaran di media sosial dikeluarkan kepada 1.5 juta kakitangan kerajaan.


"Menyuarakan pendapat di media sosial oleh penjawat awam dianggap satu kesalahan yang membawa kepada tindakan tatatertib," menurut arahan itu.


Larangan berkenaan dikeluarkan susulan dakwaan pegawai kesihatan wilayah dan guru bahawa puluhan pelajar pengsan di sekolah kerana kekurangan makanan.


Sejak penghujung tahun lalu, Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk selepas kerajaan kehabisan dolar untuk mengimport pelbagai barangan keperluan.


Situasi itu mengakibatkan negara berdepan kekurangan bekalan keperluan dalam skala besar dan kadar inflasi tertinggi di belakang Zimbabwe serta protes yang membawa kepada pengunduran presidennya, Gotabaya Rajapaksa pada Julai lalu.


Menteri Kesihatan, Keheliya Rambukwella menolak dakwaan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.


Beliau menuduh pekerja kesihatan awam mempunyai agenda 'bermotifkan politik' dan sengaja memperbesarkan isu berkenaan.


Bagaimanapun, Program Makanan Sedunia dalam laporan terbarunya berkata, enam juta rakyat Sri Lanka iaitu hampir satu pertiga daripada penduduk negara kepulauan itu 'berdepan isu keselamatan makanan dan memerlukan bantuan kemanusiaan'.


Dalam perkembangan berkaitan, pengganti Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan dan mengharamkan demonstrasi di kebanyakan ibu kota.

Post a Comment

0 Comments