Mat Kilau pakai nama samaran dan bersembunyi di suatu lokasi, ketahui sejarahnya

 


Lokasi persembunyian, anak isteri dan sebab Mat Kilau tukar nama.


DALAM wawancara pertama selepas kemunculan semula Mat Kilau, beliau mendedahkan pelbagai kisah sepanjang persembunyiannya.


Tempoh lebih tujuh dekad bukan sekejap. Dalam tempoh tersebut, Tanah Melayu sendiri melalui pelbagai peristiwa bersejarah. Dari pemerintahan British, kemasukan tentera Jepun, 14 hari pemerintahan komunis, darurat, penubuhan Malayan Union, kemerdekaan sehingga nama Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia.


Menurut Mat Kilau, selepas diusir Hugh Clifford, beliau merantau sehingga ke Kampung Penar dan Kampung Jambu di Pattani, Thailand, menjadi guru silat di sana. Beliau kemudiannya berpindah ke Kelantan selama tiga tahun dan ke Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu selama tujuh tahun. Di Terengganu, beliau tinggal bersama ayahnya, Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah.


“Ayah meninggal dunia di hadapan mata Aki di Pasir Nering. Aki kemudiannya membuat keputusan untuk ke Pahang,” kata Mat Kilau kepada dua wartawan Utusan Malaysia yang mewawancaranya, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad.


Janji dengan Sultan


Mat Kilau tinggal di Kampung Tanjung Medang, Pekan Pahang sehingga berlakunya banjir besar di negeri itu pada 1926. Kemudian, atas titah Almarhum Sultan Abdullah, beliau berpindah ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran, Kuantan pada 1927. 


Dalam pertemuannya bersama Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Yahya Mohd. Seh dan beberapa ahli sejarah, tiga hari selepas mendedahkan identiti di Kampung Pulau Tawar, Mat Kilau mendedahkan punca beliau menyembunyikan diri.


Kata beliau, persembunyian itu merupakan janji antara dirinya dengan Sultan Abdullah yang turut menitahkan supaya beliau menukar nama kepada Mat Siam. Ini kerana Mat Kilau telah menjadi buruan British selepas melakukan pemberontakan bersama beberapa rakan yang lain. 


KERATAN laporan Utusan Malaysia tentang kemunculan semua Mat Kilau pada 29 Disember 1969. Hubungi Pusat Maklumat dan Arkib Media Mulia Sdn. Bhd. untuk maklumat berkenaan laporan terdahulu Utusan Malaysia. Hubungi 03-74556428 atau emel infocenter@mediamulia.com.my.


Bilangan isteri dan anak-anak


Di Kampung Batu Lima, Mat Kilau telah berkahwin dengan Che Ajrah Abu Bakar dan mempunyai enam orang anak. Sebelum persembunyiannya, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Shik Daud dan dikurniakan empat orang anak. Dua anak daripada perkahwinan pertamanya, Omar dan Khadijah masih hidup pada 1969.


Pada tahun itu juga, semua adik-beradiknya seramai empat orang telah meninggal dunia. 


Dua wartawan Utusan Malaysia itu juga berjaya menemui dan menemu bual Che Ajrah. Menurut Che Ajrah, dia bertemu dengan Mat Kilau yang ketika itu menggunakan nama Mat Siam di rumah saudaranya di Kampung Batu Lima. Mat Kilau menumpang di sana. 


“Dengan perantaraan saudara-mara sebelah saya, kami telah mendirikan rumah tangga dan mendapat enam orang anak,” kata Che Ajrah.


Anak sendiri tidak tahu Mat Siam itu Mat Kilau


Dalam satu laporan pada 30 Disember 1969, dua orang anak Mat Kilau dalam perkahwinan dengan Che Ajrah berkata mereka terkejut apabila mendapat tahu ayahnya yang dikenali sebagai Mat Siam itu sebenarnya pahlawan terbilang.


Anak sulungnya, Minah dan anak bongsunya, Abu Bakar berkata, ayahnya tidak pernah bercerita bahawa dia sebenarnya Mat Kilau, pahlawan Pahang yang masyhur kerana keberaniannya menentang British.


“Kami tidak pernah percaya cerita-cerita ayah mengenai perjuangan pahlawan-pahlawan zaman dahulu kerana kami menganggap ayah sudah nyanyuk,” kata Abu Bakar.

Post a Comment

0 Comments