"Nyonya Mansur" Sebenarnya Buta Huruf, Tetapi Hingga Ke Hari Ini Wataknya Sebagai Ibu Mertua Tetap 'Hidup'

 


Ketika P. Ramlee ingin mencari pelakon untuk filem Ibu Mertua-Ku, beliau mahu Mak Dara sendiri yang melakonkan watak Nyonya Mansur. Pada mulanya Mak Dara menolak tawaran itu kerana dia bimbang tak dapat bawa watak itu dengan baik dan tak mahu menyusahkan P. Ramlee.


Kata P. Ramlee: "Tentang kebolehannya berlakon sebagai ibu mertua itu, Mak Dara nombor wahid, chuma perkara hendak menghafalkan senikata2-nya itu seperti hendak mengasah parang yang berkarat"


Oleh kerana melihat P. Ramlee bersungguh-sungguh mahukan khidmat lakonannya, Mak Dara bersetuju untuk menerima tawaran itu. Filem Ibu Mertua-Ku adalah filem arahan P. Ramlee yang paling lama untuk disiapkan iaitu 6 bulan.



Mak Dara tidak boleh membaca kerana dia buta huruf. Untuk berdialog, dia akan diajar dan berlatih dengan penolong pengarah S. Sudarmadji.


S. Sudarmadji akan melukis simbol-simbol pada setiap dialog untuk memudahkan Mak Dara menghafal dan belajar tinggi rendah tonasinya serta gerak tubuh yang sesuai dalam sesebuah babak.


Kehebatan lakonan Mak Dara amat teserlah dalam filem tersebut. Apabila disebut nama Mak Dara atau NYONYA MANSUR, pasti ramai akan terbayang wataknya yang kejam itu. Ia telah menjadi salah satu watak pujaan dalam sejarah perfileman Melayu.


Mak Dara mula berlakon di pentas bangsawan sebagai penari. Selepas banyak kumpulan bangsawan gulung tikar, seperti anak wayang lain Mak Dara beralih angin ke layar perak. Sebagai pelakon bebas yang tidak terikat dengan mana-mana studio, Mak Dara telah berlakon dalam 26 buah filem.


Mak Dara meninggal dunia di Singapura pada 16 Februari 1970 akibat sakit tua. Tarikh 16 Februari itu juga merupakan hari lahirnya. Mak Dara meninggal dunia pada usia 63 tahun. Ramai sahabat seperjuangannya turut menyatakan kesedihan mereka di atas pemergian Mak Dara.


Oleh: Danial Abdul Aziz 

Kredit Foto: Repair Gambar


Like, Share & Follow Borak Viral Untuk mendapat sajian berita terkini, koleksi fakta & pengetahuan am, isu semasa dalam negara dan luar

Post a Comment

0 Comments