Ramai Jadi Mangsa Arus Karau Bila Mandi Laut, Lelaki Ini Ajar & Tangani Bila Berlaku Situasi Tersebut

 


Mandi laut antara aktiviti popular pada musim cuti persekolahan, tidak kira pelancong mahupun pengunjung pantai mesti teringin nak mandi laut. 


Setiap perkara tu mestilah ada risiko, begitu juga mandi laut atas risiko sendiri, tahukah anda pusaran atau arus karau di laut sangat berbahaya boleh menyebabkan ramai orang lemas? Kes lemas di laut meningkat sejak akhir-akhir ini, tanpa sedar ramai terjebak memasuki dalam garis arus karau.


Di sini ada beberapa info pasal arus karau atau dipanggil 'Rip Current' dan juga tips bagaimana nak atasi bila termasuk dalam situasi tersebut.


ARUS KARAU: BAHAYA YANG TERSEMBUNYI


Setiap tahun, beratus kes lemas dilaporkan berlaku di seluruh negara kita dan kebiasaannya akan melibatkan kehilangan nyawa.


Antara faktor berlakunya kes lemas adalah disebabkan kehadiran 'rip current' atau dikenali sebagai arus karau di persisiran pantai.


Apa itu arus karau dan bagaimana ia terbentuk?



Arus karau merupakan arus yang melalui saluran sempit yang terbentuk di pesisiran pantai dan bergerak menuju ke arah laut.


Secara ringkasnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan arus karau terbentuk antaranya adalah disebabkan keadaan muka Bumi di sekitar pantai seperti wujudnya celah antara dua beting pasir berhampiran pantai sehingga mengganggu pergerakan air untuk kembali ke laut. Beting pasir tersebut menyebabkan air laut terumpu pada satu haluan yang membentuk saluran untuk air kembali ke arah laut. 


Selain itu , arus karau juga boleh terbentuk apabila ombak dari laut bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan menyebabkan hadirnya arus yang sejajar dengan pesisiran pantai. 


Arus sejajar tersebut akan menyebabkan air laut di pesisiran pantai bergerak menuju pada satu titik yang sama lalu membentuk satu saluran untuk air kembali ke laut.


Arus karau yang bergerak menuju ke laut lazimnya berkelajuan sekitar 0.5 meter/saat dan mampu mencapai kelajuan lebih 2 meter/saat iaitu melebihi kelajuan manusia biasa berenang.


Kelajuan arus karau bergantung kepada kekuatan dan kekerapan ombak , pasang surut air laut dan keadaan muka Bumi di sekitar pantai.


Bagaimana untuk mengenali arus karau?


-Kelihatan suatu bahagian permukaan air yang lebih tenang mengunjur dari pantai menuju ke laut berbanding keadaan sekitarnya yang berombak .


Keadaan yang tenang tersebut sebenarnya merupakan bahaya yang tersembunyi. 


Ramai orang akan tertipu dan beranggapan bahawa bahagian yang tenang tersebut akan lebih selamat berbanding bahagian yang berombak sedangkan di situ la arus karau akan menariknya menjauhi pesisiran pantai.


-Warna air yang berbeza berbanding bahagian air yang lain.


Keadaan air akan kelihatan lebih gelap dan berkeladak disebabkan sedimen di pantai ditarik ke arah laut.


-Buih-buih dan sampah sarap bergerak menuju ke arah laut.


Bagaimana cara untuk menyelamatkan diri seandainya terperangkap di dalam arus karau?


1) BERTENANG dan kumpul tenaga.


2) Jangan berenang melawan arus karau kerana arus tersebut membawa anda ke arah laut bukan ke pantai . Melawan arus hanya akan mengurangkan tenaga.


3) Jika anda pandai berenang, Berenang ke arah tepi (kiri atau kanan arus karau)


4) Jika tiada tenaga untuk berenang, usaha apungkan diri dan biarkan arus karau membawa anda sehingga ke hujungnya atau dikenali sebagai 'kepala' lalu berenang ke arah tepi arus karau . Semakin jauh arus karau dari pantai, semakin lemah kekuatannya .


5) Setelah keluar dari arus karau, cuba berenang mengikuti arus yang menuju ke pesisiran pantai.


6) Jika tidak mampu berenang sehingga ke pesisiran pantai, lambaikan tangan dan menjerit meminta tolong. 


7) Jika anda tidak pandai berenang, berdoalah semoga anda terselamat. Pentingnya di sini untuk belajar berenang.


Semoga bermanfaat.


Rujukan :-


- "NOAA Reminds Swimmers That Rip Currents Can Be a Threat". National Oceanic and Atmospheric Administration. (www.noaa.gov)


- "Rip Currents Science". National Weather Service. (www.weather.gov )


- B Castelle, T Scott, RW Brander, RJ McCarroll (2016)."Rip current types, circulation and hazard". Earth-Science Reviews.


- John Fletemeyer, Stephen Leatherman (2010). "Rip currents and beach safety education". Journal of Coastal Research.


- "How to Identify a Rip Current – and what to do if you are caught in one". Gwithian Academy Of Surfing ( www.surfacademy.co.uk )


Sumber imej: Dr Rip's Science Of The Surf

Post a Comment

0 Comments