Tiada kes culik, jangan gusarkan hati ibu bpa



Kuala Terengganu - Polis Terengganu menafikan berlaku kes penculikan atau cubaan menculik kanak-kanak di negeri itu berikutan beberapa surat dikeluarkan pihak sekolah yang tular di media sosial mengenai peringatan kes culik yang didakwa sering berlaku ketika ini.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini pihak polis tiada menerima laporan daripada orang awam atau dari pihak sekolah mengenai insiden itu.


"Saya ingin menegaskan bahawa pihak sekolah tidak wajar mengeluarkan kenyataan bersurat atau menyebarkan maklumat melalui grup sosial yang akan memberikan kerisauan kepada ahli keluarga serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.


"Anggota masyarakat perlu bertenang dan pihak sekolah perlu sentiasa berhubung dengan pihak polis jika berlaku sebarang perkara berkaitan isu keselamatan melalui ketua polis daerah atau Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) masing-masing bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi semasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.


Rohaimi berkata, pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memberikan maklumat terkini dan meningkatkan lagi rondaan di kawasan-kawasan sekolah di semua daerah di Terengganu terutamanya ketika tamat sesi persekolahan.


"Tiada masalah jika pihak sekolah mahu mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa menitikberatkan isu keselamatan anak-anak.


"Apa yang menjadi isu ialah apabila isu keselamatan digunakan tanpa fakta yang benar sebab ia mendatangkan kegusaran kepada masyarakat kerana tiada berlaku kes penculikan setakat ini yang dilaporkan bukan seperti yang didakwa," katanya.


Pada Isnin, tular beberapa surat dari beberapa sekolah yang meminta supaya ibu bapa lebih peka terhadap keselamatan anak-anak dengan mengambil mereka tepat pada masa ekoran kejadian culik yang didakwa sering berlaku kebelakangan ini.

Post a Comment

0 Comments