Gara2 Bisnes Gagal, Bapa Dua Anak Maut Terjun Tingkat 10 Pangsapuri

 


SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang mengalami kemurungan dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa yang tinggal di Taman Bayu, Butterworth telah terjun dari pangsapuri itu.

“Dia sebelum itu pergi ke pangsapuri berkenaan dengan motosikal dan menaiki lif ke tingkat 10.

“Mangsa telah duduk dan melunjur kaki keluar di kaki lima sebelum secara tiba-tiba bertindak terjun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas isteri mangsa berusia 26 tahun, lelaki itu dikatakan mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan menerima rawatan dari klinik swasta empat hari lalu.

“Bapa kepada dua cahaya mata berusia empat dan dua tahun itu mula kemurungan selepas perniagaan yang diceburi gagal dan mengalami kerugian,” katanya lagi.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya di sini bagi urusan bedah siasat serta kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah.

Sementara itu, kejadian tersebut sempat dirakam orang awam sebelum video rakaman berkenaan tular di media sosial. – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments