Isteri maut tersepit, suami parah kereta bertembung Mercedes Benz

 


PONTIAN – Seorang wanita terbunuh manakala suaminya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 73, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berhampiran Kampung Ayer Baloi, disini, malam semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam itu, mangsa, Nurul Izzati Zainal Abidin, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala, kaki dan tangan.

Manakala suaminya, Muhammad Syarifuddin Ramli, 25, mengalami kecederaan parah dan masih berada di wad kecemasan zon merah Hospital Pontian (HP).






Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari arah Benut menuju ke Pontian menaiki kereta Naza Sutra.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Mercedes-Benz dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Berlaku pertembungan antara kereta Mercedes-Benz itu dengan kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafa berkata, akibat perlanggaran itu, seorang wanita yang duduk tempat duduk penumpang hadapan maut akibat tersepit manakala pemandunya parah.

Ujarnya, pemandu kereta Mercedes-Benz pula hanya mengalami kecederaan ringan.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Alsagoff, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa.

Jelasnya, kedua-dua mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments