"Mama Redha Dgn Ketentuan, Rehatla Anak Mama, Anak Mama Dah Penat" - Adam Zikri akhirnya pergi jua

 


BAYI lelaki yang menghidap kanser otak tahap empat meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar , semalam selepas ketumbuhan di kepalanya semakin merebak.

Ibunya, Nurul Asyikin Mustafa, 26, berkata, anaknya Muhammad Adam Zikri Mohamad Zainal, 12 bulan, meninggal dunia di pangkuannya pada 2.25 petang semalam.

“Pada jam 12.46 tengah hari doktor menghubungi saya memaklumkan oksigen anak semakin turun dan keadaannya nazak, serta meminta kami ke hospital.



“Pada 8 Ogos lalu, doktor melakukan imbasan di kepalanya dan mendapati ketumbuhan dia sudah merebak dan mudah berdarah, sudah tiga kali menjalani rawatan kimoterapi namun ia tidak berkesan,” katanya yang tinggal di Kampung Nawa, Pokok Sena dekat sini.

Ibu kepada dua orang anak ini berkata, Adam Zikri sepatutnya menjalani pembedahan menebuk leher minggu lalu bagi membantu pernafasan namun sudah dua kali ditunda kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Katanya, sebelum ini dia dan suami Mohamad Zainal Mohd Khamis, 29, menaruh harapan anaknya akan dibenarkan pulang selepas pembedahan terbabit namun tidak kesampaian.

“Anak saya pergi ketika di pangkuan saya, saya nampak dia sangat tenang ketika menghembuskan nafas terakhir.

“Sebagai ibu saya reda, dia sudah lama menderita, Allah lebih sayangkan dia… Terima kasih kepada banyak pihak yang membantu saya sekeluarga selama ini,” katanya.



Jenazah Adam Zikri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Menerong, Pokok Sena kira-kira jam 6 petang semalam.

Sebelum ini, Adam Zikri dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HSB sejak 23 Mei lalu.

Pada 7 Julai lalu, media melaporkan pasangan suami isteri pilu melihat bayi lelaki mereka diuji menghidap penyakit kanser otak tahap keempat dan doktor menjangkakan dia dapat hidup setahun lagi.

Adam Zikri sudah menjalani dua kali pembedahan dan juga kimoterapi selepas penyakitnya itu dikesan pada 29 Mac lalu apabila mengalami demam berpanjangan dan muntah.

Bapanya, Mohamad Zainal, yang bekerja sebagai tukang rumah tidak mempunyai pendapatan tetap, selain anak sulung mereka Nur Arriana Zarrisha, 4, mengidap kanser tiriod sejak lahir.

Post a Comment

0 Comments