Talak 3 Yang Hakim Jatuhkan Adalah Hadiah Istimewa Buat Saya - Anak Guam

 


Saya nak kongsi kisah saya untuk dijadikan pengajaran untuk semua. 


Saya telah berkahwin dengan suami lebih 10 tahun. Tahun pertama saya dah impikan zuriat. Masa ni agak tertekan disebabkan sanak-saudara mula bertanyakan saya yang tidak mengandung lagi. 


Satu hari saya dan suami ke klinik untuk periksa kesuburan. Doktor sahkan suami tiada benih langsung dan kemungkinan untuk saya mengandung adalah nipis.


Pada masa yang sama rupa-rupanya, masalah ini juga menyebabkan perkahwinan pertama suami musnah akibat suami yang mandul.  


Apa yang saya buat? Saya tetap bertahan di sisi suami. Sebab dia lelaki yang saya pilih untuk dijadikan suami. Baik buruknya juga saya perlu terima. Saya redha dengan apa yang terjadi dan kami mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat. 


Setelah perkahwinan mencecah 7 tahun, suami mula berlaku curang. Nak gugur jantung bila suami kantoi dengan isteri orang. Siap dah tidur bersama dan check-in hotel. 


Saya bersemuka dengan suami, tanya dia dengan jujur. Suami minta maaf, dia akui kesalahan dan khilafnya. Sebagai seorang isteri solehah, saya redha lagi. Tapi melupakan agak sukar,  hampir bertahun saya pendam perasaan sakit ini. Saya tak tahu bagaimana saya mampu bertahan dalam rumah tanggan toksik sebegini. 


Ini mungkin juga kerana salah saya yang terlalu bertolak-ansur dengan suami. Saya sampai tahap seperti ketua keluarga. Saya tanggung semua perbelanjaan keluarga. Walaupun suami saya tentera, duit gaji yang diberikan sangatlah sedikit. Malahan duit yang diberikan diambil semula tanpa pengetahuan saya. 


Setiap kali keluar makan di kedai, suami akan merokok selepas makan dan terus masuk ke kereta. Sayalah yang terkebil-kebil mengurus anak berseorangan dan bayar bil makanan di kaunter menggunakan duit sendiri. 


Beberapa bulan berlalu, suami mula berperangai pelik. Pulang sentiasa lambat dan kononnya kerja lebih masa. Suami juga jarang balik rumah. 


Bila suami balik rumah, saya curi-curi ambil hp suami dan kumpul bukti. Ternyata suami kantoi curang dengan beberapa wanita sejak 6 bulan lalu. Hancurnya hati saya bila suami memburukkan saya dengan wanita lain kononnya saya tidak boleh mengandungkan zuriatnya.Sedangkan dia lelaki mandul. 


Jika difikirkan,  saya boleh saja angkat kaki tinggalkan dia jika saya menginginkan zuriat sendiri. Oh ya, pada waktu ni suami dan perempuan tersebut masing-masing menafikan bahawa mereka ada hubungan. 


Selang beberapa minggu kemudian, saya menerima mesej dan video lucah daripada seorang wanita. Saya menyaksikan video suami dengan perempuan lain. Allahuakbar, berat benar dugaan yang Allah berikan kepada saya. Saya jatuh terduduk. Sepuluh tahun saya berusaha menerima dan bertahan dengan kekurangan suami, inikah balasan yang saya dapat?  


Berdasarkan bukti yang ada, saya ke mahkamah untuk memohon fasakh. Suami bukan sahaja berzina, tetapi culas dengan nafkah dan tangungjawab malahan beberapa kali telah memukul saya di depan anak. 


Akhirnya hakim membuat keputusan kami bercerai dengan talak 3. Setelah bercerai, saya ingatkan saya akan menangis. Tetapi tidak, saya berasa sangat tenang. Semua bebanan hidup saya selama ini seperti diangkat. Benarlah, talak 3 itu hadiah istimewa untuk saya. 


Sebelum ini, saya risau jika bercerai. Risau akan anak. Hakikatnya anaklah yang mendapat kesan trauma yang besar bila saya mengambil keputusan untuk bertahan dalam rumah tangga toksik itu.


Hasil nasihat peguam, saya membawa anak untuk mendapatkan khidmat kaunseling kerana kesan trauma membuatkan anak sering dalam ketakutan disebabkan selalu melihat saya dipukul oleh suami. 


Dalam perkahwinan ini saya belajar, tidak mengapa menjadi janda, tidak mengapa anak tidak berayah dan tidak mengapa bercerai, kerana kebahagiaan adalah pilihan kita. 


Saya percaya ramai wanita diluar sana senasib seperti saya. Kumpullah kekuatan dan minta dengan Allah untuk keluar daripada rumahtangga toksik.


Sekarang ini saya telah failkan mutaah, hadanah dan hutang dalam perkahwinan, doakan saya menang. Saya doakan juga buat wanita diluar sana untuk kuat dan berjaya keluar daripada derita rumahtangga. Bahagia atau derita? Pilihan ditangan kita.

Post a Comment

0 Comments