‘Cepatnya Kimi pergi’ – Remaja maut kereta terbabas elak lembu melintas

 


SEORANG remaja lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas selepas dipercayai cuba mengelak seekor lembu melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 17, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Jalan Serkam- Merlimau, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu mengakibatkan mangsa Muhammad Airulhakimi Shuib, 17, yang juga pekerja pasar maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut saksi kejadian Mohd Zharif Mazlan, 37, berkata, cuaca ketika kejadian masih gelap dan dia ternampak mangsa cuba mengelak lembu di lorong kanan Lebuh AMJ.

“Kereta mangsa ketika itu berada di hadapan saya dan tiba-tiba hilang kawalan apabila cuba mengelak lembu yang melintas jalan.

“Saya melihat di dalam kereta itu ada mangsa sebelum segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu Proton Iswara Aeroback dalam perjalanan dari arah Merlimau ke Serkam.

“Siasatan awal dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan terlanggar sebatang pokok di tengah pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.


Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat selain kenderaannya kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments