Nama Saja 'Rumah Lelong'...Ketahui Faktanya

 


Laman web PropertyGuru tampil berkongsi beberapa mitos mengenai rumah lelong.

Mitos 1: Anda boleh terus masuk dan menghuni di rumah lelong.

Sesuatu yang mungkin mengejutkan pembeli adalah rumah lelong sebenarnya tidak menjamin kekosongan penghuni (vacant possession).

Ada banyak keadaan di mana pemilik atau penyewa sebelum ini enggan keluar dan masih menghuni rumah itu.

Menurut Presiden Hartaguam Datuk Nazri Mustafa, tindakan penghuni yang enggan berpindah adalah antara risiko perlu ditanggung pembida dan ia berbeza dengan pembelian rumah menerusi pemaju atau pemilik (rumah yang tidak dilelong).

Perlu diingat dalam kes lelongan, pihak bank tidak akan menyerahkan pemilikan kosong kepada pembida. Ini jelas dinyatakan dalam pengisytiharan jualan.

Malah, kebiasaannya tiada majlis serahan kunci. Pembida juga dilarang memasuki hartanah sebelum pembayaran penuh harta bidaan dibuat.

Pembida mungkin perlu mendapatkan perintah injuksi mahkamah supaya penghuni mengosongkan rumah lelong itu. Namun, ini memerlukan masa dan kos tambahan.

Lantaran itu, pembida disarankan meninjau rumah lelong itu terlebih dahulu sebelum membuat bidaan.

Mitos 2: Semua rumah lelong dalam keadaan baik.

Kita sudah bercerita mengenai penghuni yang tidak mahu mengosongkan rumah lelong. Kini kita beralih kepada keadaan sebaliknya iaitu apabila rumah lelong itu sudah lama ditinggalkan.

Dalam situasi sebegini, rumah itu biasanya berada dalam keadaan buruk dan kotor. Malah, ada keadaan di mana rumah lelong yang dijadikan tempat longgokan sampah.

Sebelum tarikh lelongan, anda perlu lawat hartanah itu untuk melihat keadaan luaran rumah. Ini dapat memberikan anda gambaran kasar mengenai keadaan rumah berkenaan dan anda dapat membuat anggaran kasar mengenai kos pembersihan serta baik pulih yang perlu dilakukan.

Teliti hartanah yang bakal anda beli

Mitos 3: Semua rumah lelong dalam keadaan yang buruk.

Kebiasaannya, rumah dilelong akibat tuan rumah gagal membayar ansuran rumah dan baki tunggakan. Maka, pihak bank mengambil semula rumah itu daripada pembelinya dan kemudian dijual semula secara lelong.

Namun, ada juga kes di mana pembeli tidak dapat meneruskan pembeliannya kerana pinjaman bank tidak mendapat kelulusan. Ini menjadikan rumah itu ditinggalkan kosong begitu saja. Situasi lain pula adalah apabila rumah tidak terjual dalam pasaran sekunder (subsale).

Dalam keadaan sebegini, rumah itu adalah dalam keadaan baharu, cuma dijual pada harga lelong. Ini adalah keadaan di mana membeli rumah leong adalah benar-benar menguntungkan!

Mitos 4: Sebarang tunggakan bil ditanggung pihak bank.

Ada keadaan di mana penghuni sebelum ini meninggalkan rumah lelong dengan tunggakan bil seperti air, elektrik, cukai tanah tanah dan lain-lain yang tinggi. Tunggakan seperti ini kebiasaannya tidak ditanggung pihak bank.

Anda boleh gunakan dokumen Proclamation of Sale (POS) untuk menyemak bil tertunggak itu.


Mitos 5: Wang deposit anda terjamin.

Selepas menang bidaan, anda perlu mendapatkan pembiayaan pinjaman daripada bank. Proses ini perlu dilakukan segera iaitu dalam tempoh 90 hari atau 120 hari.

Sekiranya pembiayaan tidak diluluskan, anda perlu mempunyai wang yang cukup untuk membayar baki daripada harga belian. Sekiranya anda ingin membatalkan pembelian, deposit anda akan hangus.

Post a Comment

0 Comments