Bicara Akhir: Bapa Dijatuhi Hukuman Penjara 1050 Tahun Dan 24 Sebatan

 


Klang - Perbuatan keji seorang penganggur merogol anak tirinya sebanyak 105 kali selama dua tahun sejak 2018 mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi penjara 1,050 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.


Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh berusia 33 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 105 pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Berdasarkan hukuman ditetapkan, lelaki itu dipenjara 10 tahun dari tarikh ditangkap 20 Januari lalu yang berjalan secara berasingan dan membawa penjara keseluruhan 1,050 tahun.


Selain itu, turut dikenakan dua sebatan bagi 105 pertuduhan dengan jumlah keseluruhan 210 sebatan. Bagaimanapun, hanya 24 hukuman sebatan sahaja dikenakan merujuk kepada Seksyen 288 (5) Kanun Acara Jenayah.


Kunasundary dalam penghakiman menegaskan kesalahan dilakukan adalah keji dan amat berat.


“Malah telah memalapkan hidup seorang kanak-kanak. Saya harap kamu insaf dalam penjara.


“Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minima namun mahkamah merasakan memadai mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu,” jelasnya.


Dalam prosiding lebih empat jam bermula pukul 3 petang, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya berusia 14 tahun sebanyak 105 kali di sebuah flat di Sungai Way, Petaling Jaya bermula 2018 hingga tahun lalu.


Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Mohamad Afiq Zuber. 

Post a Comment

0 Comments