"Hanya Tujuan Motivasi, Takde Niat Hina Bangsa", - Makcik Kemboja & Anak Lelaki Mohon Maaf Secara Terbuka

 


SUSULAN menerima kecaman demi kecaman, usahawan Mariyah Yaakob atau lebih dikenali sebagai makcik Kemboja tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, gara-gara menggelar kaum Melayu sebagai golongan yang malas.

Permohonan maaf tersebut dibuat menerusi satu sidang media yang diadakan di Mariyah Holdings, Skudai, Johor pada Isnin.

Menurut Mariyah, dia sama sekali tidak berniat untuk mengeluarkan kata-kata berbaur hinaan kepada orang Melayu, sebaliknya ia lebih kepada dorongan motivasi.

"Saya ingin membuat permohonan maaf secara terbuka bagi pihak saya, Mariyah binti Yaakob dan pada pihak syarikat juga.

"Saya nak memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, seluruh bangsa-bangsa Melayu atas kekhilafan saya dan keterlanjuran kata-kata saya serta warga Kemboja yang mana terguris dengan kata-kata saya.

"Sejujurnya jauh di sudut hati saya, tidak ada terdetik pun nak menghina mana-mana bangsa. Seratus peratus untuk motivasi," katanya,

Dalam sidang media itu yang turut diadakan secara 'live' di media sosial, Mariyah menjawab isu yang dibangkitkan mengenai dakwaan bekas pekerjanya yang tidak dibayar caruman serta komisen ketika berkhidmat.

"Saya ada pengurusan yang menguruskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

"Kalau benar Mariyah Holdings tak bayar, mereka boleh tujukan kepada JTK (Jabatan Tenaga Kerja). Itu lebih arif," ulasnya ringkas.

Dalam masa yang sama, Mariyah mengakui apa yang sudah berlaku memberikannya satu pengajaran yang sangat berharga.

"Kita semua ada khilaf. Hari ini khilaf saya, kita tak tahu bila khilaf orang lain. Saya belajar apa yang berlaku sekarang adalah ilmu yang sangat berharga untuk lebih matang dan berhati-hati," ujarnya.

Dalam pada itu, Mariyah turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang banyak menyokong perniagaanya selama ini.

Untuk rekod, minggu lalu, Mariyah telah memuat naik rakaman video permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim susulan kenyataan kontroversinya.

Bekas pekerja Mariyah Holdings (kiri) tampil di kilang milik usahawan berkenaan selepas dicabar anak lelakinya, Ezuan.


Sementara itu dalam sidang media yang sama, anak lelaki Mariyah yang dikenali sebagai Ezuan turut membuat permohonan maaf susulan satu videonya yang mencetuskan kontroversi yang dikaitkan dengan ibunya.

"Dengan terbuka dan rendah hatinya, saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu sekiranya video yang dimuat naik oleh saya mengenai perbalahan dengan bekas pekerja lama tersebut telah menimbulkan lebih banyak spekulasi dan perkara yang boleh dikatakan fitnah.

"Saya buat video itu pun, saya tak ada membela mana-mana syarikat ataupun ibu saya. Saya hanya mahu menyelesaikan perkara itu secara profesional dengan individu tersebut yang telah mengugut saya.

"Saya akui kesilapan saya dan akan bertindak lebih matang sekiranya ingin membuat apa-apa," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ezuan memuat naik satu video mencabar seorang bekas pekerja Mariyah Holdings agar tampil bersemuka selepas individu berkenaan dianggap memuat naik konten yang berunsur ugutan terhadapnya.

Di dalam videonya, Ezuan mencabar individu tersebut untuk bersemuka dan bukan sekadar 'menyalak' di media sosial.

Dua hari lalu, pekerja berkenaan muncul di Mariyah Holdings sebagai menyahut cabaran namun mendakwa dihalang memasuki kilang berkenaan.

Dia turut mendakwa tidak dibayar komisen sepanjang empat bulan terakhir berkhidmat di kilang tersebut.


Post a Comment

0 Comments