Angkara siapa? Dua hari lepas Masjid dibakar, hari ini surau pula dibakar

 


Batu Pahat: Surau di Sri Medan pula menjadi sasaran terbaharu selepas Masjid Kampung Parit Simis yang terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat.


Surau Parit Bangas itu dikesan terbakar pada 10 malam tadi, menyebabkan permaidani, perabot dan penghawa dingin musnah, insiden yang hampir sama berlaku ke atas Masjid Kampung Parit Simis, Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kebakaran disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu.


Katanya, dengan bantuan penduduk berhampiran, kebakaran berjaya dipadamkan 15 minit kemudian.


"Ini kebakaran kedua berturut-turut membabitkan masjid dan surau di Sri Medan.


"Justeru, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya yang memaklumkan siasatan turut dilakukan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menyalurkannya ke mana-mana balai berhampiran atau menghubungi Ketua Balai Polis Sri Medan di talian 07-4850222.


'Kegilaan apa hingga tergamak bakar rumah Allah"

Batu Pahat: "Kegilaan apa hingga tergamak membakar rumah Allah." Itu reaksi Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid susulan surau di Sri Medan menjadi sasaran terbaru dibakar dipercayai angkara khianat, malam tadi.


-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Surau Parit Bangas di Sri Medan dilaporkan terbakar pada 10 malam menyebabkan sebahagian besar peralatan di dalamnya musnah.


Mohd Fared berkata, pihaknya dikejutkan dengan dua kejadian rumah Allah dibakar hanya selang beberapa hari dan meminta siasatan dijalankan seadil-adilnya.


"Malam kelmarin kita dikejutkan kejadian Kampung Parit Simis. Kegilaan apa agaknya hingga tergamak membakar rumah Allah.


"Ini kerana siasatan awal yang dilaporkan mendapati ada kesan bau petrol dan penyapu lidi terbakar dijumpai dalam masjid itu.


"Tapi, kali ini di Surau Parit Bangas. Syukur kedua-dua kejadian tidak menyebabkan kecederaan kepada orang kampung, Jika ianya perbuatan khianat, semoga pihak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.


Jelasnya lagi, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti puncanya.


"Jika berpunca isu pendawaian elektrik, saya akan pastikan semua masjid dan surau seluruh Johor diperiksa segera supaya sebarang kejadian buruk tidak berulang.


"Saya memohon semua penduduk berdoa agar kampung, daerah dan negeri serta negara kita terhindar daripada sebarang kejadian buruk yang merosakkan," katanya.


Kebakaran di Surau Parit Bangas dilihat hampir sama seperti masjid Kampung Parit Simis namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua kejadian ini.

Post a Comment

0 Comments