Bekas guru tadika didakwa cuai menyebabkan kanak -kanak autisme berumur 4 tahun maut


Seorang bekas guru sekolah taska, S. Esther Christina, didakwa sekali lagi di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kanak-kanak autisme dibawah jagaannya lemas pada April tahun lalu.


S. Esther Christina, 59, mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.


Terdahulu, pada 12 Julai tahun lalu, beliau didakwa atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret.


Mengikut pertuduhan, Esther Christina yang mempunyai hak penjagaan terhadap V. Thanes Nair (4 tahun) didakwa telah meninggalkan kanak-kanak autisme itu tanpa pengawasan dan penjagaan bagi tempoh masa yang tidak munasabah.




Kesalahan itu didakwa dilakukan di kolam renang Kelab Centro, Bandar Baru Sri Klebang pada pukul 10.20 pagi, 17 April 2023.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mendekati keluarga atau saksi mangsa dan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan.


Peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikekalkan pada kadar RM2,500 seperti sebelum ini dengan seorang penjamin atas alasan tertuduh yang menjalani pembedahan kanser otak kini menerima rawatan susulan dan mengambil ubat anti sawan. Selain itu, tertuduh yang kini menganggur turut memberi sokongan kepada ibunya yang berusia 80 tahun dan telah memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan.


Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, di Mahkamah Majistret di sini, Esther Christina dilepas tanpa dibebaskan selepas Majistret Siti Nora Sharif membenarkan permohonan pihak pendakwaan sebelum kes dibawa ke Mahkamah Seskyen.


Kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia pada 23 April 2023, selepas enam hari bertarung nyawa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. -


Kredit: BERNAMA

Post a Comment

0 Comments