Lembaga Pengampunan Akan Keluarkan Kenyataan: Pengampunan ke atas Najib


Lembaga Pengampunan dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.


"Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan.


"Ia (mesyuarat) diadakan semalam di Istana Negara. Ya (saya menghadiri mesyuarat itu)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Draf Rancangan Tempatan Kuala Lumpur 2040 hari ini.


Media sebelum ini melaporkan mesyuarat yang sepatutnya diadakan semalam, adalah mesyuarat rasmi terakhir Yang di-Pertuan Agong Al- Sulatan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum pemerintahan baginda berakhir hari ini.


Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.




Semalam media melaporkan pasukan pembelaan Najib belum mendapat apa-apa maklumat mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikatakan akan diadakan semalam.


Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dilaporkan berkata, tiada siapa pun dimaklumkan mengenai mesyuarat berkenaan.


"Tidak, tiada siapa yang tahu," katanya ringkas ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai pertemuan terbabit.


Sebelum itu pada 10 Januari lalu, Muhammad Shafee menafikan dakwaan sebuah portal berita bahawa Lembaga Pengampunan akan memutuskan permohonannya untuk pengampunan diraja pada akhir bulan ini.


Beliau dilaporkan berkata, mereka tidak menerima sebarang kemas kini mengenai permohonan mereka setakat Disember tahun lalu.


Rabu lalu, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata tiada perbincangan mengenai perkara berkaitan Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu sebelumnya.


Kredit:Berita Harian

Post a Comment

0 Comments