"Saya tak pernah jumpa orang ganjil macam dialah" - Saloma dedah lima tabiat pelik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee



Tan Sri Datuk Amar (Dr)  Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh 22 Mac 1929 – 29 Mei 1973), atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee, merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu Malaysia. 


Dianugerahkan "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri filem dan muzik dan hasil karya sasteranya, yang mana kerjaya lakonannya bermula di Singapura pada 1948 semasa di puncak kerjayanya, sehingga berhijrah ke Malaysia pada 1964 sehingga kematiannya, beliau dikenang sebagai ikon terkemuka dalam industri hiburan Malaysia. 



Kemasyhuran beliau juga berkembang sehingga ke rantau Asia Tenggara termasuk Brunei, Indonesia, Hongkong dan Jepun.


Beliau menerima pelbagai anugerah dan penghargaan sepanjang kerjayanya, memperoleh beberapa kemenangan dari pelbagai badan pemberi anugerah. Antaranya ialah pengiktirafan antarabangsa seperti Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik.


Hari Kelahiran

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1929 bersamaan 1 Syawal 1347, iaitu selepas khutbah selesai pada pagi Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang.  Beliau ialah anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902–1955) dan Che Mah binti Hussein (1904–1967). 



Sebelum Che Mah melahirkannya, Che Mah telah mengadu sakit perut pada sebelah paginya. Tetapi, bapanya harus menunaikan sembahyang raya. Mujurlah ibu Che Mah tinggal bersama-sama dengannya. Ibu Che Mah telah memanggil bidan dan orang ramai mula berkumpul di rumah mereka. 


Selepas pulang daripada menunaikan solat, Teuku Nyak Puteh mendapati anaknya telah selamat dilahirkan. Ibu Che Mah telah memanggil cucunya dengan panggilan "Ramlee" kerana kesukaran memanggil nama "Teuku Zakaria".


Kehidupan Perkahwinan

P. Ramlee telah berkahwin sebanyak tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Haris pada 17 September 1947tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada 17 Oktober 1953. Perkahwinan kedua beliau ialah dengan Noorizan Mohd Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. 


Walau bagaimanapun, Noorizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada 16 Oktober 1961. Kali terakhir ialah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.


Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Noorizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.


Anak-anak

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:




  1. Mohd Nasir: Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  2. Arfan: Anak kandung bersama Junaidah (1955-1998)
  3. Sazali P.Ramlee: Anak angkat (lahir 1958)
  4. Abdul Rahman: Anak tiri (anak Junaidah)
  5. Norma: Anak tiri (anak Noorizan)
  6. Armali: Anak tiri (anak Saloma dan A.R. Tompel)
  7. Betty: Anak angkat
  8. Zakiah @ Zazaloma: Anak angkat (lahir 1963)
  9. Sabaruddin @ Badin: Anak angkat (1965-2007)
  10. Salfarina @ Dian P.Ramlee: Anak angkat (keturunan Cina) juga merupakan seorang pelakon terkenal Malaysia.


Perangai pelik P.Ramlee

Beberapa perangai pelik P. Ramlee sempat dikongsikan oleh Saloma melalui temu bual sebelum ini.

 

  • P. Ramlee nak makan mesti ada ikan kering kalau tiada, terdedah je nasi tu menunggu saloma goreng ikan kering.

  • P. Ramlee nak cari ilham atau buat skrip filem akan masuk dalam bilik air, berjam-jam dalam bilik air sampai Saloma kena pegi bilik air lain. Bilik air tu dia akan bersihkan dan cantikkan. Sebab disitu tempat dia cari ilham.

  • P. Ramlee nak buat lagu akan main piano, masa tu Saloma dengan anak-anak tak boleh bising. Kadang-kadang tak bersembang sampai 3 hari sebab dia nak buat lagu. Bercakap hanya bila perlu contohnya  bertanya makan dan minum, orang telefon dan perkara yang dirasakan penting.

  • Saloma suka baca buku tapi P. Ramlee tak suka baca buku. P. Ramlee suka baca surat khabar untuk tengok berita, politik dan perkembangan tanah air. 


  • P. Ramlee kalau tengok TV, P. Ramlee tengok Mission Impossible,  berita, gusti dan main game.


  • Saloma kalau tengok drama pula P. Ramlee tak suka. P. Ramlee terus pergi ke piano buat lagu. Jadi Saloma dengan anak-anak  kalau tengok TV kena perlahankan suara. 

Begitulah keunikan P.Ramlee, seorang berjiwa besar dan sangat mencintai seni. Sepanjang hayatnya, beliau telah berlakon dalam 66 filem, 35 daripadanya ialah arahannya, mengarang 250 lagu dan menyanyikan hampir 30 daripadanya. 

Video:

Karya beliau jelas bukan sekadar hiburan sahaja malah ia adalah satu himpunan khazanah yang membicarakan tentang cita-cita, harapan, impian, nilai, kesucian agama, kemelut sosial dan keagungan sejarah bangsanya. 


Semuanya ini dipaparkan dalam karya-karyanya bersama-sama dengan pandangan, pendapat dan saranan beliau untuk didengar dan ditatap. Demikian besarnya karya beliau yang semestinya menjadi iktibar, panduan dan rujukan ilmiah untuk generasi masa kini. Pemergian beliau masih segar dalam ingatan dan pasti akan terus kekal sampai bila-bila.


Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga
Biar alam hancur dan musnah
Jasa mu tetap dikenang juga




P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung. Semoga Allah S.W.T mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah.









Post a Comment

0 Comments