Peminat ajak David Beckham lepak mamak, minum teh tarik dan nikmati nasi lemak




Hantaran dimuat naik dalam Instagram IG) itu meraih lebih 900,000 tanda suka dan lebih 10,000 komen.


Menerusi hantaran itu, Beckham, 48, yang tampil dalam persalinan serba hitam memuji keindahan kotaraya Kuala Lumpur.


"Wow, pemandangan yang indah, bandar yang hebat," katanya yang berada di ibu negara sempena Majlis World of the Predator Exhibition yang mengimbas sejarah 30 tahun but bola sepak dikeluarkan Adidas.




Peminat Beckham termasuk golongan selebriti tanah air dilihat tidak mahu ketinggalan meninggalkan komen dalam IG Beckham.


Pelbagai komen mencuit hati ditinggalkan antaranya mengajak suami kepada anggota kumpulan Spice Girls, Victoria Beckham itu melepak ke mamak dan menikmati hidangan popular, nasi lemak.


Aktor Beto Kusyairy antara yang meninggalkan komen di IG bintang bola sepak itu.


"Sorry Dave, aku ada meeting tadi masa kau nak datang rumah. Kau lambat bagi tahu," tulisnya.


Pemain bola Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek turut dilihat meninggalkan komen di IG Beckham.


"Astaga der, bagitahu la datang, nanti aku boleh pergi ambil bawa jalan-jalan makan," komennya.


Tidak mahu ketinggalan meninggalkan komen adalah usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Shukri.


"Saya adalah artis nombor satu Malaysia," tulisnya.


Beckham hadir ke Malaysia bagi membuat kemunculan dalam sesi bersama pemegang keahlian adiclub terpilih di pusat beli belah The Exchange TRX, petang ini.


Sebelum ini, Beckham berada di Bangkok, Thailand bagi meraikan ulang tahun ke-30 but Predator bersama aktor dan penyanyi terkemuka negara itu, Bright Vachirawit.


Terdahulu, Beckham singgah di Seoul, Korea Selatan untuk acara serupa dan bergandingan dengan bintang Squid Game merangkap duta Adidas, Jung Ho Yeon.


Beckham pernah muncul di gedung beli-belah Pavilion sekitar September 2017. Pada November 2014, beliau hadir memeriahkan sambutan ulang tahun sebuah jam jenama mewah di lokasi sama.


Bagi kemunculan di The TRX Exchange, Beckham bakal disertai ramai selebriti Asia termasuk bintang K-Pop, Kim Yug Yeom dan pelakon Thailand, Nanon Korapat.

Post a Comment

0 Comments