"Memang tak adil langsung undang-undang ni, mak saya macam mati katak" - 5 lelaki lepas, bebas tuduhan bunuh warga emas

 


ANAK kepada warga emas yang maut ditetak dalam satu kejadian di rumahnya di Sabak Bernam pada lima tahun lalu, menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan lima lelaki atas pertuduhan membunuh ibunya.


Anak bongsu daripada lapan beradik itu mengumpamakan kematian ibunya itu seperti ‘mati katak’ apabila menyifatkan keputusan mahkamah itu tidak memberikan keadilan kepada keluarganya.


“Saya mengikuti kes ini daripada awal di mahkamah. Saya berharap hari ini akan ada keputusan yang munasabah tapi saya sedih kelima-lima ini dibebaskan.


“Mak saya itu lah satu-satunya bagi kami dia seolah-olah seorang hakim bagi kami. Segala baik buruk kami anak beranak kami rujuk kepada dia. Kini dia sudah lagi tiada. Sudah lima tahun dia tiada.


“Saya memang sedih dengan keputusan mahkamah hari ini. Seolah tiada keadilan langsung (untuk keluarga mangsa),”


“Seolah-olah ibu saya mati katak. Senang-senang sahaja (mereka) boleh bunuh orang”, katanya. katanya.


Wanita berusia 57 tahun itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas prosiding akhir pembelaan bagi kes itu selesai, pagi tadi.


Selain itu, wanita berkenaan turut meluahkan kebimbangan berhubung keselamatan ahli-ahli keluarganya apabila kesemua tertuduh yang didakwa membunuh ibunya itu dilepaskan dan dibebaskan.


Dalam pada itu, dia turut memaklumkan bahawa ahli keluarga menerusi pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu.


“Kami semestinya akan buat rayuan (terhadap keputusan hari ini). Saya harap (di akhir rayuan) mereka dijatuhkan hukuman setimpal,” ujarnya lagi.


Terdahulu UtusanTV melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan lima orang lelaki atas pertuduhan membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian di kediamannya di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam pada lima tahun lalu.


Kesemua tertuduh, A. Sri Mahavishnu, 42; S. Kannadasan, 33; E. Venthaan, 33; T. Devaraju, 33; dan K. Vikkines Varan turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan cucu warga emas wanita berkenaan pada tarikh yang sama.


Sebelum ini, kelima-lima tertuduh secara bersama-sama didakwa atas pertuduhan membunuh dan P. Runkanaikey, yang berusia 78 tahun ketika kejadian di rumah mangsa di Jalan Rose Biru di Kampung Tebuk Pulai Sabak Bernam antara jam 3.30 sehingga 4.30 pagi pada 12 Ogos 2019.


Kesemua tertuduh turut secara bersama-sama didakwa mencederakan cucu mangsa, N. Silamparasan kini berusia 27 tahun dengan menetak di bahagian tangan kiri, bahu sebelah kiri, kaki kiri dan kanan pada tempat, masa dan tarikh yang sama.


Bagi kedua-dua kes itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.

Post a Comment

0 Comments