[TERKINI] Warga Israel yang ditahan bersama senjata api dikesan hidup mewah sebaik tiba di KL


Kuala Lumpur: Lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pistol dan 200 butir peluru pada 27 Mac lalu dikesan mengamalkan gaya hidup mewah di ibu negara.


Sumber mendedahkan, suspek tiba ke negara ini sejak 12 Mac lalu dan mendaftar masuk ke hotel lima bintang.


"Sepanjang berada di negara ini, suspek membeli-belah di sebuah pusat beli-belah mewah di ibu negara.


"Kehidupan suspek dilihat sangat mewah, individu berkenaan juga makan di restoran lima bintang di ibu negara," katanya.


Menurutnya, suspek turut bertemu dan bermesyuarat dengan beberapa individu lain di hotel lima bintang di ibu negara ketika berada di negara ini.


Semalam polis menahan pasangan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada jam 7.15 malam.


Soal siasat terhadap pasangan berkenaan mendapati mereka mengakui membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada lelaki dipercayai warga Israel yang ditahan.


Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.


Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki Israel terbabit memasuki negara ini selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.


Lelaki warga Israel yang menggunakan pasport Perancis untuk masuk ke ibu negara ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang, dekat sini, pada Rabu lalu.


Lelaki berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Pemeriksaan di bilik hotel menemukan senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru di dalam beg miliknya.


Siasatan polis mendapati semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments