"Anne membesar di set bersama Papa" - Anne Ngasri


KUALA LUMPUR: Pelakon Anne Ngasri meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Allahyarham Jaafar Onn yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi kerana sedang menunaikan umrah.


Menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram, Anne dilihat berkongsi gambar terakhir ketika menziarah arwah di hospital, tetapi tidak dinyatakan tarikhnya.


Pada hantaran yang dimuat naik, Anne berkongsi beberapa foto kenangan bersama arwah yang dipanggil 'papa'.


"Allahuakbar, gambar terakhir kita tempoh hari di hospital. Innalillahiwainnailaihirojiun. Papa sudah pergi tinggalkan N. Membesar di set bersama, papa seperti bapa sendiri.




"Kalau di set selalu belikan N coklat, belikan hadiah, jaga N macam anak sendiri.


"Masya-Allah terlalu banyak kenangan kita. N masih di Makkah dan menerima khabar duka ini. Harapan nak jumpa papa balik nanti tidak kesampaian, Allah lebih sayangkan papa, pergi di bulan baik.


"Setiap tahun tak pernah gagal beraya dengan kek kukus buah, tapi tidak kali ini.


"N doakan syurga buat papa, papa insan seni hebat dan terlalu baik," kongsi Anne.


Selain Anne dan arwah, sitkom Cili Padi yang cukup popular pada 1993 turut dibintangi Melissa Saila, Tam Suhaimi dan Nik Faiz Nik Fadzil.


Terdahulu, Allahyarham Jaafar, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments