Saya faham Bella marah, tak layan panggilan, mesej - Ruhainies


KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies menganggap kontroversi yang menghimpitnya sebagai satu titik hitam dalam hidupnya.


Selain masih terkejut kerana kali pertama berlaku selepas hampir satu dekad dalam industri.


Menerusi program hiburan, Melodi di TV3, hari ini, Ruhainies tampil memohon maaf secara terbuka kepada pelakon Bella Astilah kerana mengganggu rumah tangganya bersama suami yang juga pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz.


"Saya ingin meminta maaf secara terbuka kepada Bella dan semua yang terbabit dalam isu ini.


"Saya juga bersedia berjumpa dengan Bella bagi selesaikan masalah ini.


"Saya cuba menghubunginya, tetapi panggilan tidak berjawab, selain mesej dihantar di aplikasi WhatsApp juga tidak dibalas.




"Saya tak nak kacau Bella sebab saya faham situasi yang sedang berlaku. Saya juga faham dia marah. Jadi, saya tak nak terlalu mendesak," katanya.


Ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk tampil membuat penjelasan?


Ruhainies atau nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, menjelaskan dirinya ada alasan yang tersendiri.


Ujarnya, dia lebih selesa menyelesaikan kemelut berkenaan secara bersemuka dan mengelak menggunakan media sosial sebagai medan perbalahan.


"Kita masing-masing sudah matang dan tak nak ada apa-apa perbalahan terutama dalam media sosial. Ini kerana itu bukan jalan yang betul.


"Kalau ada masalah kita jumpa dan berbincang, apa benda yang rasa tak puas hati.


"Ketika isu mula-mula timbul, saya sibuk dan nak habiskan saki-baki penggambaran drama.


"Selesai shooting, saya terbang ke Makkah untuk tunaikan umrah dan sekembali ke Malaysia saya pula kurang sihat.


"Jadi, sekarang saya rasa tak boleh tangguhkan lagi, sudah tiba masa untuk beri kenyataan.




"Kalau boleh saya nak berdamai kerana tak mahu ada apa-apa sengketa dengan Bella atau sesiapa pun," katanya yang turut menafikan keputusan berdiam diri selama ini didorong perasaan risau.


Lagipun, katanya, isu itu terlampau panas, justeru mahu memastikan keadaan reda dulu.


Ruhanieis berkata, dia tidak akan mengemukakan apa-apa bukti kerana menyedari tindakan itu hanya akan memburukkan lagi keadaan.


"Semua orang dalam keadaan emosi, apa bukti yang ada sekalipun saya takkan muat naik di mana-mana. Kalau tak, isu ini tiada pengakhiran.


"Ia memikirkan orang ada keluarga, anak dan banyak hati yang perlu saya jaga. Saya juga tahu macam mana rasa apabila diaibkan.


"Saya mengaku ini khilaf saya, salah tetap salah. Tapi, kalau boleh saya nak berdamai dengan Bella," katanya.


Pada 9 Mac lalu, nama Ruhainies dan Aliff Aziz didakwa ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Post a Comment

0 Comments