"GAMBAR terakhir kita pakai baju sama."
Begitulah luahan seorang wanita
yang terkenal di media sosial gara-gara busana 'rare' yang dipakainya setiap
kali menyambut Aidilfitri.
Menerusi video yang dimuat naik di
laman sosial, dia membuat luahan ringkas, tapi maksudnya begitu mendalam
sehingga menimbulkan tanda tanya.
Bagi yang tidak mengenalinya, dia
merupakan seorang usahawan kosmetik yang dikenali sebagai Kak Hello Kitty
kerana memakai baju raya bertemakan kartun popular itu setiap tahun sejak 2015.
Lebih menarik, bukan dia seorang
sahaja yang menggayakan baju raya Hello Kitty tetapi turut menyediakan baju
tema sama untuk suami dan dua anaknya sekali gus akan tampil sedondon di pagi
raya atau jemputan rumah terbuka.
"Kali ni dia tinggalkan kami
bertiga," katanya menerusi kapsyen dalam satu video yang dimuat naik di
TikTok.
Yus Amina Mohd Zawizah mendedahkan dia hanya menyambut 1 Syawal lalu bersama anak-anak, tanpa suami.
Wanita berusia 34 tahun itu bagaimanapun memberitahu, dia sebenarnya sudah menyediakan enam pasang baju raya untuk mereka sekeluarga bagi Aidilfitri kali ini.
"Ada enam pasang termasuk dua
baju bertemakan Hello Kitty. Tapi hanya saya dan dua anak yang pakai baju raya
Hello Kitty kali ini.
"Baju raya yang sepatutnya
untuk suami itu dipakai oleh bapa saya ketika saya dan anak-anak pulang ke
kampung di Machang, Kelantan," katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, dia yang lebih
mesra disapa Afina mendakwa hubungan dengan suami Mohd Afizi Mohd Nasir, 41,
dingin sejak lebih dua bulan lalu.
Dia bagaimanapun enggan mengulas
lanjut mengenai suami atau masalah rumah tangga yang sedang dihadapinya.
Saya tak nak anak-anak
tengok saya menangis.
Afina yang sudah 10 tahun melayari
bahtera perkahwinan turut memaklumkan dia dan suami mungkin akan berpisah
sebagai jalan penyelesaian terakhir kepada masalah rumah tangga mereka.
Namun sehingga kini, katanya, jauh di sudut hati tetap sayangkan suami dan mahu cuba menyelamatkan rumah tangganya.
"Saya kenal suami lama... 17
tahun, kahwin dah 10 tahun. Sampai sekarang saya tak tahu apa salah saya yang
menyebabkan dia berubah. Saya sedih kami tak beraya bersama.
"Saya tak nak anak-anak
tengok saya menangis, kadang-kadang saya terpaksa menangis seorang diri dalam
tandas... doakan saya kuat," katanya sebak.
Hasil perkahwinan Afina bersama
suami, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putri Jeliyta Ai Rich
Mohd Afizi, 9, dan Putra Jamsyeir Ai Rich Mohd Afizi, 4.
Kredit: Mstar
0 Comments