Terkini: Mangsa seterusnya maut makan bihun dan telur mata yang dibawa pulang dari program sekolah


Update: Sebelum ini remaja 17 tahun mengalami cirit-birit selepas makan telur mata yang dibawa pulang oleh ibunya dan selepas itu maut, terkini budak perempuan berusia dua tahun juga maut selepas makan bihun yang sama yang diberi oleh bapanya.


GOMBAK: Seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, kelmarin.




Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.




"Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.




"Pada jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.




Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.




"Pada jam 10.45 malam kelmarin, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.




"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut," katanya.




Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).




Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901, atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad 0142389151.




Terdahulu, media melaporkan seorang remaja maut selepas dipercayai memakan tiga biji telur yang dibawa pulang oleh ibunya daripada satu program di sekolah.




Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.




Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menganjurkan program amal islami sebagai tuan rumah.

Post a Comment

0 Comments