Guru Disiplin Disyaki Cabul Anak Murid

 




Kuala Lumpur: Seorang guru disiplin sebuah sekolah di Sentul, di sini, ditahan polis Isnin lalu kerana disyaki mencabul anak muridnya.


Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Baru Sentul, susulan laporan polis dibuat pelajar lelaki berusia 13 tahun itu.


Mangsa membuat laporan kerana tidak tahan dicabul dan dipaksa melakukan perbuatan luar tabii sejak setahun lalu ketika mangsa di tahun enam.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377E dan 354 Kanun Keseksaan.

‘Saya ni jenis miang’
MESEJ dihantar guru berkenaan kepada Anis.


Kuala Lumpur: “Saya memang macam itu. Jenis miang sikit. Saya faham semua orang tak selesa. Saya memang ada satu tabiat tak senonoh macam itu. Patut awak sound (beri amaran) masa kali pertama saya buat.”


Itulah SMS pengakuan seorang guru disiplin kepada wanita yang juga rakan sejawat di sebuah sekolah di ibu negara selepas tembelangnya yang sering melakukan gangguan seksual terbongkar.


Akibatnya, guru wanita itu menghadapi tekanan perasaan selepas kerap diganggu termasuk tangannya dipegang serta betisnya diraba beberapa kali sejak Februari lalu.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Anis, 27, berkata, dia mula ‘diusik’ guru berusia awal 30-an itu sejak berpindah ke sekolah berkenaan awal tahun lalu dan tidak menyangka diperlakukan sebegitu tanpa segan silu biarpun di depan murid.


Namun, penderitaan Anis berakhir apabila guru lelaki itu ditahan pihak berkuasa Isnin lalu berikutan laporan polis dibuat seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun mendakwa dicabul guru itu.




Dakwaan guru cabul serius


Kuantan: Kementerian Pendidikan memandang serius penahanan seorang guru disiplin yang disyaki mencabul muridnya dan akan menjalankan siasatan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.


Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, pihaknya sudah mengarahkan jemaah nazir dan Jabatan Kualiti menyiasat kes itu termasuk mengenal pasti punca mendorong guru berkenaan bertindak sedemikian.


Katanya, jika kejadian cabul itu berlaku seperti didakwa, perbuatan guru disiplin itu mencemar nama baik profesion perguruan yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik.


“Kami akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh dengan mengambil butiran daripada saksi, mangsa serta ahli keluarga untuk tindakan susulan.


“Masih terlalu awal memutuskan bentuk hukuman bakal dikenakan kepada guru itu kerana polis masih menyiasat perkara terbabit sebelum kementerian mengambil tindakan susulan,” katanya di sini, semalam.


Akhbar semalam melaporkan seorang guru disiplin berusia 35 tahun ditahan polis kerana melakukan kelucahan melampau dan mencabul bekas muridnya di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.


Suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak ditahan di rumahnya di Bandar Baru Sentul susulan laporan polis dibuat mangsa Jumaat lalu.


Abdul Ghafar berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan guru dan murid kerana sekolah adalah kawasan selamat serta bebas daripada segala perlakuan tidak sihat.


“Dakwaan ini sangat serius dan tidak sepatutnya terjadi kepada murid lebih-lebih lagi di kawasan sekolah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments