Lelaki Maut Ditetak Akibat Rebut Kekasih

 


Bukit Mertajam – Bapa kepada dua anak maut selepas ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru di sini semalam.


Mangsa berusia 35 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam ketika menerima rawatan susulan mengalami kecederaan pada leher, badan serta kedua-dua tangan dipercayai ditetak suspek menggunakan parang.






Difahamkan, kejadian pukul 8 malam itu berlaku membabitkan empat suspek lelaki dengan mangsa yang dikatakan datang untuk mengadakan perbincangan berkaitan teman wanitanya yang dikatakan masih menjadi kekasih kepada salah seorang suspek.


Bagaimanapun, mangsa yang datang seorang diri itu tiba-tiba diserang menggunakan parang dan peralatan lain sebelum rebah di lokasi kejadian.


Susulan itu, suspek melarikan diri dengan sebuah kereta manakala mangsa dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam.


Difahamkan, kejadian bermotif dendam susulan teman wanita suspek menjalinkan hubungan cinta dengan mangsa ketika masih berstatus kekasih kepada suspek.


Selain itu, pemeriksaan pihak forensik di lokasi kejadian membawa kepada penemuan tiga bila parang, kayu baseball, pisau serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, usaha mengesan empat suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.


”Proses bedah siasat terhadap mangsa juga telah selesai dilakukan di Hospital Bukit Mertajam hari ini.


“Kita mohon orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019 951 7045 atau 04 538 2222,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Kredit : MalaysiaGazzette

Post a Comment

0 Comments