Memotong SUV Tak Lepas Bergesel & Terjatuh, Lalu Diseret Lori Sejauh 50 Meter

 


KLANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret lori sejauh 50 meter dalam kemalangan di Batu 3 Jalan Meru di sini, petang tadi.

Kejadian tragis pukul 1.08 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 24 tahun tersebut datang dari arah Meru menghala ke bandar ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss dipercayai mahu memotong sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50.

“Namun, motosikal itu dikatakan bergesel dengan bahagian belakang sebelah kanan SUV berkenaan, lalu terjatuh.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa kemudian dilanggar sebuah lori dan diseret sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera teruk di badan.


“Mayat lelaki tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Dua lelaki iaitu pemandu SUV dan lori berusia 34 serta 25 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika kejadian cuaca di jalan sehala tiga lorong itu baik dan tidak hujan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut dijalankan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Mohd. Fadli Ismail,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments