Pegawai Bomba Maut Kereta Dipandu Rempuh Lori

 


MIRI – Seorang pegawai bomba maut selepas kereta yang dipandunya bersama dua penumpang terbabit kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Kilometer 8, Pujut 7, Jalan Miri-Lutong di sini awal pagi Sabtu.

Mangsa, Mohd Azwanizam Abdullah, 42, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan Hospital Miri kira-kira jam 5.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta dipandu mangsa bersama dua orang lagi penumpang dan sebuah lori itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

“Kemalangan berlaku dimana lori dari arah Lutong menuju ke bandar raya Miri jalan lurus dan apabila sampai di Kilometer 8 Lampu Isyarat Pujut 7, tiba-tiba sebuah kereta dari arah Permyjaya menuju ke Piasau melanggar bahagian sisi kiri lori tersebut.

“Akibat daripada kemalangan, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian, penumpang hadapan kereta seorang lelaki berusia 43 tahun menerima rawatan di Zon Merah Hospital Miri.

“Manakala pemandu lori seorang lelaki berusia 42 tahun dan penumpang belakang kereta terbabit seorang lelaki berusia 19 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Alexson berkata kemalangan menyebabkan kereta terbabit rosak teruk di bahagian hadapan manakala lori mengalami kerosakan di bahagian sisi kiri.

“Kawasan kemalangan adalah terang dengan adanya lampu jalan, dan ianya kawasan lampu isyarat simpang empat dan cuaca masa kejadian adalah baik.

“Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Miri untuk tindakan bedah siasat,” ujarnya.

Beliau berkata kes terbabit masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment

0 Comments