"KERUGIAN PALING BESAR ADALAH KAMI KEHILANGAN RUMAH PUSAKA... TEMPAT SAYA MEMBESAR" - ISSEY SEDIH RUMAH KELUARGA MUSNAH TERBAKAR

 


"Kerugian tak payah cakaplah. Kerugian paling besar adalah kami kehilangan rumah pusaka. Saya dilahirkan di rumah itu yang seusia dengan saya iaitu 36 tahun. Sewaktu ibu dan bapa pindah masuk rumah itu, saya baru dilahirkan. Rumah itu banyak sangat kenangan." 


Itulah ujar pelawak, pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham, 36, yang meluahkan rasa sedih apabila rumah pusaka keluarganya di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan, musnah dalam kebakaran, petang semalam. 


Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, dia sangat sedih kerana rumah itu sangat bermakna buatnya jika dibandingkan dengan jumlah kerugian dialami. Tambah Issey lagi, mujur tiada sesiapa berada dalam rumah ketika insiden malang itu berlaku.





"Rumah itu sekarang kakak yang duduk. Nak dijadikan cerita, dia tiada di rumah kerana berada di Terengganu. Saya kebetulan ada di Kelantan sebab ada acara. Masa acara itu, saya dapat panggilan kata rumah saya terbakar. Saya pun datang ke rumah itu, bomba sudah sampai. Lebih 80 peratus rumah itu memang habislah," katanya.


Sebelum ini, Issey berkongsi berita sedih itu menerusi laman Instagram miliknya, dimana hantarannya yang dimuat naik tersebut mendapat komen-komen simpati daripada ramai pihak termasuk rakan-rakan artis.


"Rumah arwah mak saya terbakar. Di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan. Kebetulan saya ada di Kelantan. Memang tersangat sebak. Rumah tempat saya membesar. Terima kasih Pasukan Bomba dan Penyelamat Kelantan," tulisnya.

Post a Comment

0 Comments