"Kena ikhlas buat kerja rumah di rumah mentua" - Atikah Suhaime


PETALING JAYA – Dua bulan mendirikan rumah tangga dan kini menetap bersama keluarga mentua, pelakon Datin Atikah Suhaime mengakui teruja menyambut Ramadan buat pertama kali bersama suami tersayang iaitu Datuk Lokman Teh.                           


Bagaimanapun, Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 33, berkata, dia tidak dapat menyorokkan rasa gementar apabila perlu menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa untuk 10 ahli keluarga mentua.


“Ini adalah Ramadan pertama saya bersama suami tercinta dan saya memang tinggal dengan keluarga mentua. Jadi sudah tentu saya kena siapkan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.


“Teruja itu memang pasti tetapi bohonglah kalau saya kata tidak gementar apatah lagi ini adalah kali pertama.


“Keluarga suami saya pula agak besar, ada lebih kurang 10 orang. Jadi saya akan mula masak daripada pukul 3 petang, itu pun belum tentu selesai lagi,” katanya.




Begitupun, pelakon kelahiran Singapura itu bersyukur kerana dikurniakan keluarga mentua yang sangat baik dan memahami.


Tidak lelah mahupun melenting, segala kerja rumah dilakukan dengan ikhlas demi mengecapi nikmat kebahagiaan berumah tangga.


“Mereka tidak pernah meminta yang bukan-bukan daripada saya. Satu lagi perkara saya belajar dalam alam perkahwinan ini, bila kita ikhlas melakukan sesuatu hidup kita lebih bahagia.


“Saya banyak sahaja baca komen Facebook ada ramai wanita merungut kena kemas rumah. Bagi saya tugas suami adalah sebagai ‘provider’ dan tugas wanita untuk memberikan suami rasa gembira dan selesa.




“Walaupun banyak kerja rumah, saya tidak rasa perlu merungut. Kita kena ikhlas barulah boleh rasa bahagia itu selain mengeratkan lagi hubungan dengan keluarga mentua,” katanya panjang lebar.


Atikah sah bergelar isteri kepada Datuk Lokman Teh dengan sekali lafaz pada 21 Januari lalu.




Lelaki pilihan hatinya itu juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif jenama produk tempatan terkemuka, Zaitun. 


Kredit: KOSMO!

Post a Comment

0 Comments