CIJ bimbang kredibiliti sistem kehakiman berisiko terhakis, selepas media dilarang buat liputan kes Najib

 



KUALA LUMPUR: Centre of Independent Journalism (CIJ) menyatakan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah tinggi yang membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didengar semula.



Ia selepas Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas ahli Parlimen Pekan itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.



Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G Naidu, berkata meskipun pihaknya menghormati kuasa dan proses kehakiman, namun ia tidak boleh melemahkan prinsip demokrasi selepas media dihalang membuat liputan semakan kehakiman itu.


Beliau memberi alasan, ini kerana permohonan Najib untuk menjalani baki pemenjaraan di rumah adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam dan prinsip asas demokrasi lalu mengkehendaki proses kehakiman yang telus dan tidak diselebungi kerahsiaan.


"Hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat secara terbuka, telus, tepat pada masanya dan kena dengan cara, mesti dilindungi serta dijunjung pada setiap masa.


"Melarang media dan aliran maklumat yang tidak berat sebelah mengenai kes ini, berkesan menghalang orang ramai daripada memantau keputusan kes rasuah yang menggegarkan negara dan menegakkan kewibawaan kepada kedaulatan undang-undang serta keadilan


"Hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat secara terbuka, telus, tepat pada masanya dan kena dengan cara, mesti dilindungi serta dijunjung pada setiap masa.


"Justeru, kepentingan karakter politik tidak boleh menggantikan kepentingan awam. Ini kerana peranan media sebagai tonggak keempat demokrasi adalah kunci untuk memastikan orang ramai mendapatkan maklumat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Naidu berkata tindakan menghalang media daripada membuat liputan meluas mengenai kes itu didakwa berkait kepentingan politik.Dakwanya, ia berisiko menjejaskan kredibiliti badan kehakiman yang akhirnya boleh menghakis kepercayaan terhadap prinsip keadilan serta demokrasi.


Oleh itu, beliau menggesa badan kehakiman supaya mempertimbang semula keputusan itu dan memastikan pendengaran awam dilangsungkan tanpa 'antara dua darjat' termasuk membenarkan akses penuh liputan media agar orang ramai dimaklumkan sewajarnya.


"Kewajaran politik tidak seharusnya memainkan peranan dalam menghalang media kerana ia secara aktif menghalang maklumat yang tidak berat sebelah daripada dilaporkan dan mengurangkan kredibiliti media sebagaimana mereka tidak boleh memainkan peranan aktif dalam melaporkan perkara membabitkan kepentingan awam.


"Apa yang berlaku ini menetapkan duluan bahawa media tidak boleh membuat liputan isu yang membabitkan kepentingan politik dan mewujudkan kelegapan sistem yang membawa kepada defisit amanah.


"Sehubungan itu, CIJ mengulangi pendirian bahawa sistem kehakiman mesti digariskan oleh kepentingan awam dan demokrasi berprinsip serta tidak sepatutnya wujud persamaan dwi-standard atau antara dua darjat dalam sistem," katanya.


Semalam, Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu yang dijalankan secara tertutup, berkata Hakim Datuk Amarjeet Singh juga mengarahkan hujahan bertulis tambahan difailkan sebelum keputusan itu dibuat.


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments